Search This Blog

Tuesday, June 10, 2014

Teresa mohon pindah kes ke Mahkamah Tinggi


TERESA KOK
KUALA LUMPUR 9 Jun - Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang menghadapi tuduhan menghasut membabitkan penerbitan satu klip video bertajuk Teresa Kok Onederful Malaysia CNY 2014, Februari lalu akan mengemukakan permohonan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi.
Peguam Sankara Nair memaklumkan perkara tersebut semasa pengurusan kes itu di Mahkamah Sesyen di sini hari ini setelah mendapat arahan daripada anak guamnya itu untuk berbuat demikian mengikut Seksyen 417 Kanun Tatacara Jenayah.
Sehubungan itu, Hakim Norsharidah Awang mengarahkan permohonan rasmi dikemukakan dan menetapkan 2 September ini untuk mendengar permohonan itu.
Mahkamah sebelum ini menetapkan tarikh yang sama untuk permulaan perbicaraan selama empat hari.
Naib Pengerusi DAP itu didakwa melakukan perbuatan itu melalui laman web http://www.youtube.com/watch?v=JtsRcld70bk di alamat 90-02-07 Apartmen Putra Ria, Jalan Bangsar di sini kira-kira pukul 9 pagi, 1 Februari lalu.
Teresa atau nama penuhnya Teresa Kok Suh Sim didakwa mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.
Bagi kesalahan berikutnya, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga lima tahun dan penerbitan berbaur hasutan pada milikan seseorang atau digunakan sebagai keterangan dalam perbicaraan tersebut hendaklah dilucutkan hak dan boleh dimusnahkan atau dilupuskan seperti arahan dari mahkamah.
Pendakwaan dikendali Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Iskandar Ahmad.
Berdasarkan laporan akhbar, klip video berdurasi 11 minit 39 saat itu telah disiarkan dalam YouTube sempena sambutan Tahun Baharu Cina yang memaparkan Teresa selaku moderator bersama tiga tetamu undangan, mengeluarkan kenyataan menyindir pemimpin negara dalam beberapa perkara termasuk pendidikan dan keganasan di Sabah.
Pada 11 Februari lalu, ahli Parlimen Seputeh itu mengakui skrip video tersebut adalah hasil cetusan ideanya sendiri bersama beberapa orang rakan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140610/ma_06/Teresa-mohon-pindah-kes-ke-Mahkamah-Tinggi#ixzz34BOYeFuc
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment