RAWANG - Mereka bukan sahaja beroperasi tanpa kebenaran, malah pemilik pusat siber di Bandar Country Homes berani pula memasang papan tanda gergasi untuk menarik perhatian pengunjung.

Taktik itu bagaimanapun memakan diri apabila menimbulkan rasa tidak puas hati penduduk yang membuat aduan kepada Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan kemudiannya mengambil tindakan sitaan.

Penolong Penguatkuasa MPS, Megat Ainul Fadzlil Ainul Fadzil berkata, pusat siber yang baru beroperasi sebulan lalu itu beroperasi tanpa lesen dan memasang papan iklan tanpa kebenaran.

“Sebanyak 25 monitor disita dan papan iklan yang dipasang dibuka mengikut tindakan undang-undang kecil MPS.

“Selain tindakan premis tersebut sebuah lagi premis yang mempunyai kesalahan sama turut dikenakan tindakan sama menjadikan dua buah lori penguatkuasa penuh dengan bahan rampasan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Katanya, selain disita tindakan memotong bekalan dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad turut dilakukan untuk memastikan operasi tersebut tidak dibuka semula.

Penguatkuasaan dilakukan di bawah Ops bersepadu dengan jumlah keanggotaan seramai 50 orang bermula jam 9.30 pagi dan berakhir dua jam kemudian.