KEMAMAN – “Saya merayu agar kemudahan balai polis mini dapat diwujudkan di kawasan Bukit Kuang bagi menangani jenayah pecah rumah yang sudah lama menjadi barah kepada penduduk di kawasan ini,” kata Iswadi Ishak, 37, yang kerugian kira-kira RM10,000 selepas rumahnya dipecah masuk petang kelmarin.

Pembantu tadbir di Hospital Kemaman itu terkejut apabila mendapati rumahnya di kawasan Perumahan Permai Indah 6 di Bukit Kuang, di sini, berselerak setelah pulang dari kerja kira-kira jam 5.30 petang.

Menurutnya, semasa tiba di rumah dia terpaku sejurus melihat pintu pagar, pintu jeriji besi dan pintu gelongsor kaca rumahnya terbuka.
“Keadaan dalam ruang tamu, bilik tidur serta tempat menonton televisyen bersepah dan terdapat kesan geledah di hampir setiap penjuru rumah.

“Selepas diperiksa, didapati barang berharga yang hilang adalah seutas rantai dan seutas gelang tangan emas, sebuah komputer riba jenama Acer dan wang tunai yang diletakkan dalam laci almari baju serta duit siling dalam tabung anak,” katanya.

Paling mengejutkan, TV bersaiz 42 inci yang diletakkan di ruang tamu kedua turut dikebas pencuri.

Bapa empat anak ini berkata, pencuri tersebut bertindak berani kerana dipercayai turut memasukkan kenderaan ke dalam pagar rumahnya untuk memudahkan mereka mengusung TV dan segala barang berharga bersaiz besar yang dicuri.

“Saya pun tak tahu macam mana pencuri itu usung TV bersaiz besar itu. Mungkin juga mereka lebih daripada seorang.
“Melihat kepada keadaan pintu pagar yang dipotong besinya, pencuri mungkin bawa masuk kenderaan yang dinaikinya ke dalam kawasan pagar rumah ini.

“Selain pintu pagar, jeriji pintu gelongsor turut dipotong manakala terdapat kesan umpil pada pintu gelongsor kaca,” katanya.