Search This Blog

Monday, June 9, 2014

‘Pulangkan pasport asal saya’


Shah Alam: “Saya mahu dia pulangkan kembali pasport asal yang berada dalam simpanannya kerana mendakwa akan digunakan untuk memohon permit kerja saya.

“Kini saya hidup dalam ketakutan dan bimbang ditahan pihak berkuasa kerana tidak mempunyai pasport,” kata seorang lelaki warga Indonesia yang dikenali sebagai Abdul, 40-an.

Beliau antara mangsa seorang lelaki mendakwa bergelar Datuk yang ligat menipu warga asing bagi mengaut kemewahan yang dilaporkan Harian Metro 4 Jun lalu.



Abdul berkata, beliau mengenali lelaki itu sejak tiga bulan lalu dan lelaki itu mendakwa mampu untuk menguruskan permit kerja dengan hanya membayar RM1,500.

“Saya mengenalinya melalui seorang rakan yang turut berurusan bagi memperbaharui pasportnya dengan Datuk berkenaan.


Saya dipertemukan dengan lelaki terbabit yang mendakwa mempunyai ‘kuasa’ untuk memudahkan urusan permit kerjanya.

“Namun saya perlu menyerahkan wang berjumlah RM1,500 sebagai wang proses untuk permohonan permit berkenaan yang akan mengambil masa sebulan manakala pasport saya pula dipegangnya untuk urusan itu dan saya hanya diberikan salinan pasport,” katanya ketika ditemui Harian Metro.

Beliau berkata, selepas hampir tiga bulan menunggu, Datuk berkenaan gagal memberi sebarang dokumen kepadanya seperti yang dijanjikan namun lelaki terbabit memberikan alasan bahawa pasportnya masih berada di Putrajaya untuk urusan permit.

Menurutnya, dia dan rakan tampil membuat laporan di balai polis berhampiran selepas membaca laporan Harian Metro berkenaan lelaki yang menggunakan gelaran Datuk untuk menipu warga asing di sekitar bandar raya ini.

Sementara itu, sumber polis mengesahkan pihaknya menerima laporan dua warga asing itu berhubung kes lelaki yang dimaksudkan dan menasihatkan mana-mana individu yang pernah ditipu tampil untuk membuat laporan bagi membantu siasatan.

“Lelaki warga emas itu ditahan dan direman selama empat hari bermula 4 Jun lalu dan kemungkinan reman akan disambung bagi siasatan lanjut selepas menerima dua lagi aduan dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Harian Metro 4 Jun lalu melaporkan suspek yang berusia 60-an juga mendakwa mempunyai ‘kuasa’ yang mewakili Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk membanteras pendatang tanpa izin (PATI) selain mengaut belasan ribu ringgit dalam tempoh sebulan dengan meminta wang perlindungan dan memeras ugut PATI.


Bagaimanapun, kegiatan lelaki itu yang mendakwa bapa kepada artis wanita popular itu berakhir apabila dia ditahan sepasukan anggota polis di restoran di Bukit Tinggi, Klang, 4 Jun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/09

No comments:

Post a Comment