• Semua barangan berharga dan persiapan perkahwinan Sebastian terjejas dengan kejadian kebakaran ini. Gambar kecil: Sebastian.Semua barangan berharga dan persiapan perkahwinan Sebastian terjejas dengan kejadian kebakaran ini. Gambar kecil: Sebastian.
SUNGAI PETANI - “Saya bingung kerana tidak lama lagi akan berkahwin," luah Sebastian Raj, 37, yang kini tinggal sehelai sepinggang selepas rumahnya terbakar dalam kejadian di Kampung Sungai Tukang, di sini.

Sebastian berkata, walaupun kejadian itu berlaku sebulan yang lalu tetapi peristiwa 20 Mei 2014 pada jam 9.45 malam itu sentiasa diingati sehingga menjadi mimpi buruk dalam hidupnya.

Menurutnya, hanya tinggal tempoh lebih kurang tiga bulan sahaja  lagi sebelum dia bakal melangsungkan perkahwinan bersama wanita pilihannya September ini.

Menceritakan kejadian, katanya, dia hanya menyedari rumah sewanya terbakar sebaik sahaja dimaklumkan rakan ketika sedang minum kopi tidak jauh dari situ.

“Ketika kejadian, saya berada di kedai kopi tidak jauh dari rumah dan terkejut apabila dimaklumkan rumah terbakar.

“Saya bergegas bagi melihat apa yang berlaku. Sampai sahaja di rumah saya dapati api marak dan saya tidak dapat menyelamatkan kesemua barang berharga. Segala dokumen penting dan persiapan perkahwinan yang bakal digunakan nanti juga hangus
terbakar,” katanya kepada Sinar Harian.

Dakwa seorang penduduk, kedudukan rumah yang dibina dengan jarak terlalu hampir antara satu sama lain juga menyukarkan kerja-kerja memadam kebakaran dilakukan pasukan bomba dan penyelamat.

Katanya, asas binaan rumah yang diperbuat daripada kayu juga menjadi faktor api merebak dengan cepat sehingga memusnahkan dua rumah yang lain.

Akibat hilang tempat berteduh, Sebastian kini menumpang di rumah bakal mertuanya di Bedong sementara menunggu majlis perkahwinan berlangsung.

"Setakat ini saya masih belum menerima sebarang bantuan dari mana-mana pihak dan ini sedikit sebanyak menyukarkan hidup saya," katanya.

Sementara itu, Pengurus Econsave Wilayah Utara, Zamzuri Mansor yang hadir meninjau keadaan melaksanakan tanggungjawab sosial korporat dengan menyumbang barangan keperluan untuk kegunaannya.