SEORANG pesara didapati bersalah kerana didakwa gagal memenuhi keperluan kesemua 26 ekor haiwan peliharaannya termasuk kucing, arnab dan anjing serta membiarkan ia hidup dalam keadaan kotor serta tidak terurus.

Menurut Mail Online, ketika pemeriksaan Pusat Kebajikan Haiwan United Kingdom (RSPCA), pemilik rumah Raymond Coll, 66, pada awalnya menafikan dia tinggal di situ. Namun, siasatan mendapati dia tinggal di rumah itu bersama isterinya.

Pegawai juga menemui beberapa ekor kucing di dalam sangkar yang berada di dalam sebuah bilik utiliti gelap tanpa laluan cahaya matahari, pengudaraan dan bekas minuman mahupun makanan.

Pegawai RSPCA Louise Showering berkata kepada mahkamah, rumah itu berada dalam keadaan bersepah, semak dan kesemua haiwan sangat menyedihkan.

“Keadaan di rumah itu sangat kotor dan persekitaran di sekelilingnya tidak sesuai untuk dijadikan tempat tinggal haiwan,” katanya.

Kesemua haiwan itu kini ditempatkan di pusat jagaan haiwan.