Search This Blog

Monday, June 2, 2014

Mati dihempap ‘belalai’ jengkaut


Keningau: Tindakan seorang pemandu jengkaut melompat keluar selepas kenderaan dipandu tidak dapat dikawal ketika menuruni bukit curam, akhirnya memakan diri apabila maut dihempap jentera berat itu dalam kejadian di Kampung Lanadan, Apin-Apin, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 7 pagi, mangsa Firdaus Pata Allo, 23, mati serta-merta di tempat kejadian dalam keadaan mengerikan apabila bahagian dada hingga kepala terbenam ke dalam tanah selepas dihempap jentera terbabit.


Sumber berkata, difahamkan, ketika kejadian, mangsa sedang melakukan kerja pembersihan di sebuah ladang di kawasan berbukit di kampung berkenaan.



Menurutnya, ketika mangsa cuba memandu menuruni bukit curam dan licin, jengkaut terbabit gagal dikawal menyebabkan lelaki terbabit terjun dari jentera berkenaan.


“Pada masa sama, jengkaut itu terbalik dan menindih mangsa, manakala ‘belalai’ jengkaut mengenai kepala mangsa hingga sebahagian tubuhnya terbenam ke dalam tanah,” katanya.


“Sepasukan bomba yang tiba di tempat kejadian mendapati mangsa sudah mati dan tubuh lelaki terbabit berjaya dikeluarkan selepas jentera berat itu dialihkan,” katanya.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Keningau Janil Jaya berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.02 pagi dan sebuah jentera bersama lima anggota dikerah ke tempat kejadian.


“Sebaik tiba, bomba mendapati mangsa sudah meninggal dunia kerana tersepit dan ditindih jengkaut.

“Mayat mangsa berjaya dikeluarkan tidak lama kemudian sebelum dihantar ke Hospital Keningau untuk bedah siasat,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Keningau Deputi Superintendan Robert Salisip David ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/02

No comments:

Post a Comment