Search This Blog

Thursday, June 12, 2014

Mahkamah sesak 20 kena tuduh serentak

Mahkamah sesak 20 kena tuduh serentak
Antara tertuduh yang tiba di Mahkamah Majistret Port Dickson, semalam. 
Rata-rata terdiri daripada pelajar IPT nafi miliki ketamin, ganja

Port Dickson: Mahkamah Majistret di sini, semalam sesak apabila 20 individu dituduh serentak kerana memiliki dadah jenis ketamin dan ganja, Sabtu lalu.

Keadaan itu menyebabkan sebahagian mereka iaitu tujuh wanita dan 13 lelaki berusia 19 hingga 28 tahun, berdiri di luar kandang tertuduh ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Kesesakan turut berlaku di galeri awam yang dipenuhi ahli keluarga tertuduh yang sebahagiannya penuntut institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

Semua mereka mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di depan Majistret M Mageshwary.

Seramai 19 tertuduh didakwa memiliki dadah jenis ketamin seberat 1.43 gram di sebuah bilik di Hotel Grand Lexis, di sini, kira-kira jam 1.50 pagi, pada 7 Jun lalu.

Mereka melakukan kesalahan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman denda hingga RM100,000 atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya.

Miliki ganja 1.30 gram

Mereka turut didakwa memiliki ganja seberat 1.30 gram di lokasi, masa dan tarikh yang sama, sekali gus melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6 ADB 1952, memperuntukkan hukuman denda hingga RM20,000 atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya.

Mereka ialah Putera Khairin Syazwan Mohd Latif, 22; Jamal Nasseir Abu Hassan, 22; Tun Zaffiqh Siddique Sabry Sharif, 20; Mohd Razif Osman, 25; Muhammad Amirul Aqily Abu Bakar, 22; Shahrul Nazrin Rashid Abdul Rahsid, 24; Muhammad Zharif Ilmam Ja'afar, 20; Muhammad Syamim Hafidz Ja'afar, 22; Nur Afiffuddin Mohd Yusof, 22.

Norhalis Ahmad, 28; Ahmad Shafiq Ahmad Faris, 24; Muhammad Faizal Abu Bakar, 22; Aishah Natasha Muhammad Khairudin, 19; Nur Nabihah Abd Hadi, 21; Nur Fadilah Hamidun, 23; dan Nur Sarah Aneesa Hisha, Norazlina Saidu, Mimi Syuhaida Mohd Zaki dan Widadtul Khairina Mohamad Kamal, masing-masing berusia 20.

Sementara itu, seorang lagi tertuduh, Syed Hussein Ali Alattas, 22, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan memiliki ganja seberat 5.7 gram pada lokasi, masa dan tarikh yang sama, dan didakwa mengikut Seksyen 6 ADB 1952.

Mageshwary membenarkan ikat jamin RM2,500 setiap seorang bagi 19 tertuduh itu, selain Syed Hussein (RM3,500) dan sebutan kes pada 23 Julai ini.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Suhaili Sapun manakala Widadtul Khairina diwakili peguam Md Ridzuan Othman, manakala tertuduh lain diwakili peguam Rajvin Charan Suri daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.

No comments:

Post a Comment