Search This Blog

Saturday, June 7, 2014

Lelaki warga Bangladesh ditahan bersabit kes penemuan mayat bayi


2014/06/06 - 16:22:43
SHAH ALAM: Polis memberkas seorang lelaki warga Bangladesh bagi membantu siasatan kes penemuan mayat bayi lelaki yang dibuang dalam sebuah gaung berdekatan Genting Highlands, Rabu lalu.

Timbalan Ketua Polis Shah Alam, Superintendan Ruslan Abdullah ketika dihubungi berkata, lelaki yang berusia lingkungan 30-an itu ditahan di sekitar Klang, semalam, berikutan aduan seorang pembantu rumah warga Indonesia yang didakwa dirogol oleh suspek sehingga melahirkan bayi berkenaan.

"Lelaki Bangladesh itu kini reman selama 14 hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut kes itu," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan seorang ejen membekalkan pekerja asing dan isterinya ditahan bagi membantu siasatan berhubung aduan wanita berumur 33 tahun itu yang kehilangan bayi hujung bulan lalu.

Penahanan ejen terbabit membawa kepada penemuan mayat seorang bayi lelaki berusia enam bulan dalam keadaan kembung dan berulat di sebuah gaung berdekatan Genting Highlands jam 11 pagi.

"Punca kematian bayi berkenaan juga tidak dapat ditentukan berikutan keadaan mayat bayi itu sudah pun reput," katanya.

Ruslan berkata, polis turut menyelamatkan 24 pekerja wanita warga Indonesia berumur lingkungan 20 dan 30 tahun yang bekerja tanpa permit sebagai pembantu rumah jangka pendek dengan ejen yang sama kerana dipercayai dieksploitasi secara seksual oleh ejen itu dan juga pelanggannya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment