Search This Blog

Tuesday, June 17, 2014

Kumpulan lanun rompak kapal tangki dipercayai rakyat Indonesia


JOHOR BAHRU 16 Jun - Kumpulan lanun bersenjatakan pistol, besi dan parang yang merompak kapal tangki, MT Ai Maru pada kedudukan kira-kira 55.8 kilometer dari Timur Tanjung Sedili, Kota Tinggi dekat sini dipercayai rakyat Indonesia.
Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Wilayah Selatan, Kapten Ibrahim Mohamed berkata, hasil siasatan awal pihaknya mendapati, kapal tersebut diserang sekumpulan tujuh hingga 10 orang.
Menurutnya, siasatan awal juga mendapati, kumpulan lanun berkenaan turut memakai topeng muka dan merapati kapal tersebut dengan sebuah bot laju sebelum bertindak merompak MT Ai Maru yang dalam perjalanan dari Singapura ke Kemboja.
"Kumpulan lanun bersenjatakan pistol, parang dan besi itu dipercayai dari Indonesia berdasarkan loghat percakapan yang digunakan mereka yang didengari oleh salah seorang krew kapal," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan, kapal MT Ai Maru yang dalam perjalanan dari Singapura ke Kemboja kerugian hampir RM2.1 juta selepas dirompak sekumpulan lanun bersenjatakan pistol, besi dan parang di Tanjung Sedili di perairan Johor.
Siasatan awal Maritim Malaysia mendapati, kumpulan lanun itu mengepam keluar minyak diesel sebanyak 700,000 liter bernilai RM2.1 juta dari kapal didaftarkan di Honduras ke sebuah kapal lain yang tidak dapat dipastikan.
Beliau berkata, semasa melakukan pemeriksaan ke atas kapal tersebut, pihaknya turut menjumpai satu sarung parang dan satu kelongsong peluru kosong dan siasatan kaitan kedua-dua barang itu dengan kumpulan tersebut sedang giat dijalankan.
Selain itu, tambahnya, kumpulan lanun itu turut mengambil beberapa barang lain seperti peralatan navigasi, radio dan sistem pengesan global (GPS), namun radio komunikasi mudah alih tidak berjaya diterima kerana disimpan di tempat tersembunyi.
Ibrahim memberitahu, siasatan tentang kes itu sedang giat dijalankan sebelum sebarang tindakan lanjut dibuat.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140617/je_09/Kumpulan-lanun-rompak-kapal-tangki-dipercayai-rakyat-Indonesia#ixzz34qdV9ONO
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment