Search This Blog

Thursday, June 12, 2014

Kes tembak komando: 14 tentera dihadap ke mahkamah


2014/06/12 - 06:50:16
Kota Kinabalu: Seramai 14 anggota tentera yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes tembak yang mengakibatkan kematian seorang anggota komando di hadapan sebuah premis serbaneka 24 jam di Pekan Lahad Datu, bulan lalu, dihadapkan ke Mahkamah Majistret, petang kelmarin.

Mereka didakwa di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Steve Ritikos, yang bertindak sebagai Majistret, mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana melakukan rusuhan.
Semua mengaku bersalah dan dikenakan hukuman penjara selama 14 hari, berkuat kuasa daripada tarikh ditangkap dan denda RM5,000 seorang. Jika gagal membayar, mereka dikenakan penjara tiga bulan.


Dakwaan bunuh

Seorang daripada 14 tentera berkenaan, Khairul Anuar Amdan, turut didakwa mengikut dua lagi pertuduhan, iaitu Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 37 Akta Senjata Api 1960 yang menyebabkan kecederaan dengan sepucuk senjata tanpa alasan yang sah.


Tiada pengakuan
Tiada pengakuan diambil bagi pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan kes akan disebut semula pada 24 Jun ini, manakala bagi Seksyen 37, Khairul tidak mengaku salah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hamdan Hamzah, manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Polis Sabah, Senior Asisten Komisioner Omar Mammah, ketika dihubungi mengesahkan 14 anggota tentera berkenaan didakwa di mahkamah, kelmarin.

Dalam kejadian jam 4.45 pagi pada 28 Mei lalu, Lans Koperal Mohd Fiffixezafey Mat Hussin, 28, dari Pasir Puteh, Kelantan, meninggal dunia ketika dalam rawatan kecemasan di Hospital Lahad Datu selepas terkena tembakan pada dada kiri.

Dua lagi orang awam turut cedera dalam kekecohan di hadapan sebuah premis serbaneka 24 jam itu.

No comments:

Post a Comment