Search This Blog

Tuesday, June 17, 2014

Junta Thai nafi 'usir' pekerja asing

Junta Thai nafi 'usir' pekerja asing
Pekerja Kemboja menaiki kereta api untuk pulang ke negara mereka di stesen kereta api Aranyaprathet di Sa Kaew, kelmarin. - Foto REUTERS
 140,000 warga Kemboja pulang

Bangkok: Junta Thailand semalam menafikan mereka melaksanakan dasar ‘sapu dan bersih’ untuk menghantar pulang pekerja asing di negara itu, meskipun ramai rakyat Kemboja meninggalkan negara berkenaan sejak tentera mengambil alih kuasa.

Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM) menganggarkan lebih 100,000 lelaki, wanita dan kanak-kanak Kemboja yang tidak mempunyai dokumen telah meninggalkan Thailand kerana bimbang tindakan besar-besaran terhadap pekerja tanpa permit sejak rampasan kuasa 22 Mei lalu.

Majlis Kebangsaan bagi Keamanan dan Ketenteraman (NCPO) junta menyatakan rakyat Kemboja terbabit meninggalkan negara itu atas kehendak sendiri, dan berkata 60,000 orang telah menyeberangi sempadan sehingga Sabtu lalu.

Lebuh raya menuju ke sempadan Kemboja sesak kelmarin, dengan trak dan bas yang sarat dengan pekerja Kemboja mengambil keputusan untuk pulang daripada berdepan dengan pihak berkuasa Thailand.

“Tidak ada dasar sapu dan bersih dalam NCPO, tetapi pasukan akan pergi ke kawasan pekerja tanpa permit untuk penyusunan semula pekerja asing kerana kita sudah berdepan banyak masalah sejak 10 tahun lalu,” kata jurucakap NCPO, Winthai Suvaree.

“Kami meminta mereka yang menggaji pekerja asing untuk meneruskan aktiviti mereka seperti biasa dan mengekalkan keamanan.”
Sementara itu, Kementerian Luar Kemboja berkata mereka akan meminta Thailand memastikan layanan yang baik diberikan kepada yang meninggalkan negara itu.

“Kami memohon mereka supaya menghantar pulang pekerja dengan baik tanpa pendakwaan, serta memudahkan usaha mendaftarkan pekerja yang sebelum ini tidak didaftarkan,” kata jurucakap kementerian itu, Kuy Kuong.

Sementara itu di Phnom Penh, gabenor wilayah Banteay Meanchey di barat daya Kemboja, Kor Sam Saroeut, berkata lebih 140,000 rakyat negara itu dilaporkan telah meninggalkan Thailand untuk pulang ke negara asal sehingga semalam, kerana bimbangkan tindakan ke atas pendatang tanpa izin di bawah undang-undang junta. - REUTERS/ AFP

No comments:

Post a Comment