Search This Blog

Tuesday, June 17, 2014

Dua sahabat karib mati bersama


Jasin: Hasrat dua sahabat karib untuk tiba awal ke destinasi dituju tidak kesampaian apabila mereka terbunuh selepas tercampak keluar dari kenderaan dinaiki dalam kemalangan di Kilometer 190.9, Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 2 pagi, mangsa, B Karrthigevan, 23, yang memandu Proton Pesona bersama rakannya, N S Raaguvaren, 22, dari Kuala Lumpur dikatakan dalam perjalanan menuju ke Singapura atas urusan kerja sebelum kenderaan dinaiki hilang kawalan.


Sumber berkata, kereta dinaiki mangsa terbabas lalu merempuh penghadang tengah menyebabkan kenderaan itu berpusing beberapa kali dan melencong ke arah lorong kiri lebuh raya.



“Kereta itu kemudian merempuh penghadang kiri sebelum melantun dan berpusing.


“Pada masa sama, penumpang kereta terbabit tercampak keluar melalui pintu penumpang sebelah kiri yang terbuka.


“Pemandu kereta pula tercampak ke dalam longkang dan kedua-dua mangsa mati di tempat kejadian kerana parah pada anggota badan,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Menurutnya, dua sahabat itu difahamkan bekerja di Singapura kira-kira setahun lalu dan berkawan sejak kecil.


Sementara itu, pengguna lebuh raya dikenali sebagai Sulaiman, 50-an, berkata, dia melihat percikan api pada jarak 200 meter sebelum menyedari ia berpunca daripada kemalangan berkenaan. “Ketika menuruni kawasan berbukit, saya nampak percikan seperti bunga api sebelum melihat serpihan kenderaan bertaburan di atas jalan.

“Saya lihat tubuh manusia terbaring dan tidak bergerak lalu memberhentikan kenderaan di lorong kecemasan untuk menghulurkan bantuan,” katanya.


Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintendan Muhd Nur Hishamudin Hashim berkata, kedua-dua mangsa dipercayai tercampak keluar dari kenderaan dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/17

No comments:

Post a Comment