Search This Blog

Wednesday, June 4, 2014

Ditetak kerana kunci kereta


MOHD TAHA YAACOB
4 Jun 2014

KAMPUNG RAJA (BESUT) - Seorang pemuda cedera selepas ditetak dengan golok dan dipukul dengan besi oleh sekumpulan empat lelaki kerana dituduh mencuri kunci penggera sebuah kereta dalam kejadian di Kampung Lay Out Tok Saboh dekat Kuala Besut, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi kelmarin itu, mangsa berusia 20 tahun cedera di betis dan kepala selepas diserang kumpulan terbabit.

Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Noorzainy Mohd Noor berkata, sebelum kejadian kira-kira jam 1 pagi hari yang sama, mangsa dikatakan telah didatangi seorang lelaki dikenali di rumahnya di kampung tersebut bertanyakan kunci kereta jenis BMW yang didakwa hilang.

Menurutnya, mangsa mendakwa sejam kemudian datang empat lelaki tidak dikenali di kawasan semak berhampiran rumahnya dan salah seorang suspek bertindak menetaknya menggunakan golok serta terkena bahagian betis kiri mangsa.

“Manakala seorang suspek lain telah memukul kepala mangsa dengan sebatang besi menyebabkan mangsa pengsan,” katanya.

Noorzainy berkata, mangsa hanya sedar selepas berada di Unit Kecemasan Hospital Besut sebagai pesakit luar.

"Sebelum itu mangsa dikejarkan ke Klinik Kesihatan Kuala Besut sebelum dirujuk ke Hospital Besut," katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati motif kejadian dipercayai berpunca apabila suspek menuduh mangsa mencuri kunci penggera kereta milik salah seorang daripada suspek.

 “Siasatan lanjut sedang dijalankan dan polis kini mengesan kesemua suspek,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya.

No comments:

Post a Comment