• Suhaimi dipenjarakan enam bulan oleh Mahkamah Majistret, Kuala Terengganu, semalamSuhaimi dipenjarakan enam bulan oleh Mahkamah Majistret, Kuala Terengganu, semalam

KUALA TERENGGANU - Malang berganda! Seorang buruh bukan saja gagal menikmati habuan ketika cuba memecah masuk masjid, tetapi juga terpaksa meringkuk di penjara selama enam bulan.

Majistret Abdul Hayyi Salim membuat keputusan itu selepas Suhaimi Ismail, 31, dari Pangsapuri Ladang Gemilang, di sini, mengaku salah memecah masuk dan cuba mencuri dengan mengumpil pintu utama Masjid Tok Ku, Tuan Besar Chabang Tiga, di sini.

Dia mengaku salah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah masjid pada jam 3.50 pagi, 11 Jun lalu.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Miky Dunstan Muda, manakala Suhaimi tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, tindakan Suhaimi yang cuba memecah masuk masjid berkenaan disedari seorang penduduk kampung yang tinggal berhampiran masjid berkenaan.

Curiga dengan tindak tanduk Suhaimi, lelaki berusia 40 tahun dan bekerja sendiri itu  mengambil keputusan untuk memerhati tindakan tertuduh selama lima minit.

Suhaimi kemudian berjaya memecah masuk masjid berkenaan dan lelaki terbabit bertindak menghampiri Suhaimi yang ketika itu cuba memecahkan tabung masjid menggunakan pemutar skru dan penukul.

Ketika cuba menahan Suhaimi, berlaku pergelutan antara mereka yang mana tertuduh cuba menikam lelaki terbabit menggunakan pemutar skru.

Kejadian itu menyebabkan tertuduh bengkak di muka dan calar di badan sebelum lelaki terbabit bersama rakannya menghubungi polis untuk tindakan lanjut.