SUNGAI PETANI - Percutian keluarga bersama anak sulung berusia empat tahun berakhir tragedi apabila mangsa mati akibat terkecik bebola ikan dalam kejadian di sini petang semalam.

Mangsa kanak-kanak lelaki, Lim Wei Kiat, 4, disahkan meninggal dunia akibat sesak nafas dipercayai kekurangan oksigen di bahagian otak.

Kejadian dikatakan berlaku dekat di Pesiaran Cinta Sayang ketika mangsa melihat ahli keluarga menikmati hidangan itu kira-kira jam 3 petang, semalam.

Sumber keluarga terdekat memberitahu, mangsa yang melihat bebola ikan terus merampas dan cuba menelan, sebelum tercekik.

“Kejadian berlaku semasa dia bersama ibu bapanya sedang minum petang. Namun, mangsa dipercayai mengambil bebola ikan sebesar syiling 50 sen dan terus menelan tanpa mengunyah.

“Keluarga ini menetap di Sabah dan bercuti ke Semenanjung Malaysia untuk bertemu ahli keluarga yang berada di sini,”  katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik, HSAH, di sini semalam.

Akibat kejadian itu, mangsa dikejarkan ke Jabatan Kecemasan, Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira jam 3.50 petang ketika dalam perjalanan ke hospital.

Katanya, doktor memaklumkan mangsa tidak dapat diselamatkan kerana otaknya tidak berfungsi akibat kekurangan oksigen.

Tinjauan Sinar Harian ke Jabatan Forensik jam 9 malam semalam mendapati bedah siasat sedang dijalankan ke atas mayat mangsa.