Search This Blog

Thursday, June 19, 2014

Besi penghadang jalan tertusuk ke dalam bas


BAS RapidKuantan yang terbabas sebelum melanggar penghadang jalan di Kilometer 13 Jalan Kuantan-Pekan, berdekatan Taman Indera Sempurna, Kuantan, semalam
KUANTAN 18 Jun - Tiga penumpang RapidKuantan berhadapan detik cemas apabila besi penghadang jalan tertusuk ke dalam kenderaan itu setelah bas yang dinaiki mereka terbabas akibat tayar pecah di Kilometer 13, Jalan Kuantan-Pekan, berdekatan Taman Indera Sempurna di sini hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 3.40 petang itu menyebabkan pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mat Kilau, Rasydan Hakimi Saari, 13, patah kaki dan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini untuk rawatan lanjut.
Dua lagi penumpang iaitu seorang lelaki dan wanita serta pemandu bas tersebut juga mengalami kecederaan dan dihantar ke hospital yang sama untuk menerima rawatan.
Kejadian dipercayai berlaku ketika bas RapidKuantan itu baru selesai mengambil penumpang di Taman Indera Sempurna untuk ke Hentian Bandar.
Difahamkan, ketika sampai di tempat kejadian salah satu tayar bas tersebut pecah menyebabkan pemandu bas berumur lingkungan 30-an itu gagal mengawal kenderaan sebelum merempuh penghadang jalan.
Keadaan bertambah buruk apabila besi pembahagi jalan tersebut tertusuk ke dalam bas.
Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Taman Tas, Rosli Daud berkata, pihaknya mendapat panggilan daripada orang ramai yang memberitahu mengenai kejadian tersebut pada kira-kira pukul 3.53 petang.
"Kita kemudian menghantar seramai empat anggota dengan sebuah jentera dan tiba di tempat kejadian, kita dapati semua mangsa telah dikeluarkan daripada dalam bas," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurut Rosli, kesemua mangsa kemudian telah dihantar ke HTAA untuk menerima rawatan lanjut.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140619/je_08/Besi-penghadang-jalan-tertusuk-ke-dalam-bas#ixzz352DL95wb
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment