Search This Blog

Monday, May 12, 2014

Tiga mangsa rugi RM3j


Klang: Walaupun sudah banyak berita berkaitan kegiatan sindiket penipuan menerusi Internet dan panggilan telefon, masih ramai yang terjebak dengan penipuan seperti itu membabitkan jumlah kerugian besar.

Terbaru, tiga mangsa membabitkan dua wanita dan seorang lelaki berusia 47 hingga 53 tahun tertipu membabitkan kerugian hampir RM3 juta dalam tiga kejadian berasingan.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Kamarul Zaman Mamat berkata, Khamis lalu, pihaknya menerima tiga laporan membabitkan kes penipuan Internet dan telefon masing-masing membabitkan kerugian lebih RM29,000 hingga RM2.7 juta.

“Dalam kejadian pertama, seorang wanita berusia 47 tahun terpedaya dengan janji manis lelaki dikenali menerusi laman sosial sejak sebulan lalu yang kononnya mahu melabur RM2.5 juta di negara ini,” katanya.

“Lelaki terbabit meminta bantuan mangsa melunaskan bayaran lebih RM29,000 untuk melepaskan wang yang dilabur yang dikatakan ditahan pihak tertentu,” katanya, semalam.

Dalam kes kedua, Kamarul berkata, seorang wanita berusia 53 tahun kerugian RM200,000 selepas dihubungi seorang individu yang mendakwa dari sebuah bank dan mengatakan akaunnya sudah dibekukan Bank Negara.

“Kedua-dua kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun, sebatan dan denda,” katanya.

Satu lagi kes membabitkan seorang lelaki berusia 50 tahun yang bekerja di sebuah syarikat swasta dan terjebak dengan penipuan atas talian mengakibatkan kerugian RM2.7 juta.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah amanah selepas lelaki terbabit didapati menggunakan wang milik syarikatnya untuk tujuan berkenaan,” katanya.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/12

No comments:

Post a Comment