Search This Blog

Saturday, May 17, 2014

Tentera Thai beri amaran campur tangan


Sebahagian penunjuk perasaan antikerajaan, berdepan dengan sekumpulan anggota Tentera Udara Thailand, sebelum merempuh pagar utama kompleks pejabat Tentera Udara menggunakan sebuah trak di Bangkok, kelmarin. - AFP
BANGKOK 16 Mei - Ketua tentera Thailand, Jeneral Prayuth Chan-ocha hari ini memberi amaran keras kepada penunjuk perasaan agar tidak melakukan sebarang keganasan atau mereka akan berdepan dengan tindakan tentera.
Amaran tersebut disuarakan sehari selepas keganasan kembali tercetus di Bangkok yang menyaksikan tiga penunjuk perasaan antikerajaan dibunuh kumpulan lelaki bersenjata yang tidak dikenali dan 23 lagi cedera.
Rangkaian berita CNN yang memetik ucapan Prayuth kepada umum berkata, rusuhan boleh tercetus jika situasi di negara ini bertambah buruk dengan keganasan yang tidak dapat dikawal.
"Jika keadaan itu berterusan, pihak tentera tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas pihak yang terlibat bagi memulihkan keamanan dan kestabilan," katanya.
Semalam, sekumpulan lelaki bersenjata yang menaiki sebuah trak melepaskan tembakan ke arah kem penunjuk perasaan berdekatan Monumen Demokrasi di ibu negara, kira-kira pukul 2 pagi waktu tempatan.
Susulan insiden serangan itu, penunjuk perasaan merempuh pagar utama kompleks pejabat Tentera Udara menggunakan sebuah trak ketika Perdana Menteri sementara, Niwatthamrong Boonsongpaisan dan beberapa menteri sedang mengadakan mesyuarat di bahagian lain bangunan tersebut.
Gangguan berkenaan menyebabkan mesyuarat itu ditangguh dan kesemua ahli politik meninggalkan kompleks tentera.

No comments:

Post a Comment