• Mohd Ashraf dan dua anaknya merayu agar isterinya pulang ke rumah.Mohd Ashraf dan dua anaknya merayu agar isterinya pulang ke rumah.

KOTA BHARU - Seorang suami merayu kepada isterinya supaya pulang ke rumah selepas wanita itu yang dipercayai menghilangkan diri sejak awal Mei lalu masih gagal dikesan.

Isterinya, Che Azifah Che Yaacob, 42, turut membawa anak bongsu mereka yang berusia setahun dan didakwa berada di sekitar Bachok bersama kenalan wanitanya.

Mohd Ashraf Mohd Zain, 29, berkata, tiga hari kemudian isteri menghubungi ibu mertuanya dan memberitahu berada dalam keadaan sihat dan mahu pulang tetapi sehingga ke hari ini masih gagal dikesan.

“Ketika saya hubunginya dia jawab dan kata di Bachok, saya cuba mencari tetapi tidak jumpa kerana kawasannya agak luas, kemudian dia gagal dihubungi,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Ashraf yang juga mengusahakan kedai makan di Lundang berkata, bimbang dengan keadaan tersebut dia membuat laporan polis agar tindakan susulan dapat dilakukan segera.

Tambahnya, walaupun sudah hampir sebulan tidak pulang dia tetap nekad mencari lokasi isteri dan anaknya tinggal.

Katanya, perkembangan terbaru pada 17 Mei lalu ada rakan-rakan memberitahu terserempak isteri bersama seorang wanita di sebuah pasar raya di Kubang Kerian.

“Sejak Februari lalu, dia (isteri) berkelakuan pelik dari banyak cakap jadi pendiam, sering sakit kepala, dan wang yang diberi kepadanya habis tidak tahu dibelanjakan kepada siapa.

“Sudah 10 tahun berkahwin kami tiada masalah keluarga dia juga sering membantu di kedai, saya sudah usahakan dengan pelbagai cara untuk mencari mereka,” katanya.

Kata bapa kepada tiga anak itu, dia percaya isterinya digunakan oleh seseorang demi kepentingan peribadi bagi mendapatkan wang memandangkan isterinya juga seorang peniaga. Bagi sesiapa yang mempunyai maklumat tentang Che Azifah, boleh menghubungi suaminya di talian 01110691214.