Search This Blog

Friday, May 23, 2014

PPDNKK rampas 25,000 jersi tiruan


PETALING JAYA 22 Mei - Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Selangor hari ini merampas sebanyak 25,000 helai jersi tiruan termasuk jersi pasukan bola sepak Piala Dunia 2014 dalam serbuan di sebuah rumah kedai tiga tingkat di Jalan PJS 3/34, di sini hari ini.
Kesemua jersi yang dirampas dalam serbuan kira-kira pukul 9.30 pagi itu dianggarkan bernilai RM750,000.
Turut ditahan ialah seorang lelaki tempatan dipercayai pemilik premis bersama empat pekerja wanita warga asing untuk siasatan lanjut di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa PPDNKK negeri, Othman Nawang berkata, serbuan tersebut dijalankan hasil maklumat dan risikan pihaknya selama sebulan.
Katanya, premis tersebut telah ber-operasi sebagai tempat penyimpanan stok pakaian tiruan sejak tiga tahun lalu.
"Siasatan mendapati bahawa ke-semua pakaian tiruan tersebut telah diimport daripada negara jiran sebelum dibungkus semula dan disimpan di premis ini," katanya ketika ditemui dalam serbuan tersebut di sini.
Othman seterusnya memberitahu, pihaknya akan menjejaki pihak yang menjual jersi tiruan apatah lagi ketika demam Piala Dunia 2014 semakin dirasai.
"Dijangkakan jersi tiruan akan dibawa masuk dengan kuantiti lebih banyak kerana permintaan terhadap produk itu pasti akan meningkat.
"Kita memandang serius kegiatan ini dan usaha berterusan akan dijalankan bagi mengesan pihak yang terlibat. Jus-teru, saya menyeru kepada para peniaga agar bersikap telus dan tidak menjual barangan tiruan," katanya.
Tambah Othman, PPDNKK telah melakukan siasatan terhadap kira-kira 60 kes melibatkan penjualan barangan tiruan dengan nilai rampasan kira-kira RM2.75 juta.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140523/je_01/PPDNKK-rampas-25000-jersi-tiruan#ixzz32UMQT2k1
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment