Search This Blog

Saturday, May 17, 2014

Penganggur ditangkap khalwat dalam bilik

WARTAWAN SINAR HARIAN
Penganggur ditangkap khalwat dalam bilik
Anggota KRT Taman Alam Perdana Pasir Semut mengepung kawasan rumah sewa seorang penganggur yang ditangkap bersama teman wanitanya, malam kelmarin 
17 Mei 2014
KEMAMAN – Seorang penganggur bersama teman wanitanya berusia lingkungan 20-an dicekup oleh anggota Kawasan Rukun Tetangga (KRT) kira-kira jam 12.30 tengah malam kerana didapati berdua-duaan dalam bilik di sebuah rumah di Taman Alam Perdana Pasir Semut, dekat sini.

Salah seorang anggota KRT yang enggan dikenali berkata, dia terlihat pasangan terbabit menaiki motosikal dalam keadaan mencurigakan ketika baru memulakan rondaan di kawasan itu.

“Disebabkan curiga, dari jauh saya intai gerak geri mereka dan saya lihat lelaki terbabit meletakkan motosikalnya di luar pagar rumah dan masuk ke dalam rumah sementara teman wanitanya menunggu di luar di tepi pagar.

“Saya kemudiannya beredar dari kawasan itu dan letak motosikal kira-kira 200 meter dari rumah lelaki itu. Tapi sejurus saya kembali, saya lihat wanita itu telah tiada dan apabila saya suluh depan pintu, saya lihat ada sepasang kasut wanita,” katanya.

Menurutnya, dia kemudiannya memaklumkan perkara itu kepada anggota KRT yang lain agar segera ke rumah berkenaan.

“Kami beri salam sebanyak enam kali, namun tak dijawab sebelum bertindak suluh ke dalam ruang tamu dan lihat seorang lelaki lain sedang tidur.

“Apabila ditanya, lelaki tersebut yang terjaga beritahu rumah itu dihuni enam lelaki dan tiada perempuan tinggal dalam rumah itu. Dia mengaku tak tahu rakannya bawa masuk wanita kerana sedang tidur,” katanya.

Berikutan itu mereka menghubungi pihak penguat kuasa agama.

Bagi mengelakkan pasangan terbabit melarikan diri, anggota KRT mengepung rumah tersebut sehingga ketibaan tiga penguat kuasa agama dan dua anggota polis tidak lama kemudian.

Ketika dibawa keluar dari rumah berkenaan pasangan terbabit kelihatan pucat dan rambut wanita tersebut berkeadaan kusut masai.

Lelaki yang ditangkap itu berasal dari Kota Bharu, Kelantan. Dia dikatakan baru tiga hari menyewa di rumah berkenaan dan sedang mencari pekerjaan di daerah ini.

Sementara itu, Pengerusi KRT Taman Alam Perdana Pasir Semut, Mohd Noor Yasin berkata, rondaan di kawasan itu bukan sahaja dilakukan pada waktu malam dan awal pagi malahan ia turut dilakukan pada waktu siang bagi mengekang perbuatan maksiat, jenayah dan kes-kes negatif lain.

No comments:

Post a Comment