Search This Blog

Wednesday, May 7, 2014

Mati hidu asap ekzos van

Kuala Lumpur: Seorang jurukimpal lelaki ditemui mati dalam keadaan misteri di dalam van selepas dipercayai terhidu gas karbon monoksida secara berlebihan di Kampung Cheras Baru di sini, semalam.

Difahamkan, mangsa berusia lingkungan 40-an yang berpakaian lengkap ditemui rakannya terbaring di dalam van Nissan Vannete itu, kira-kira jam 8 pagi.

Jurucakap bomba berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 8.08 pagi.
“Sepasukan 12 pegawai dan anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Cheras diketuai Pegawai Bomba Kanan II Mohd Rosuhili Mohd Taharim dikerah dalam operasi menyelamat berkenaan.

“Setibanya di lokasi kejadian, pemeriksaan mendapati terdapat seorang lelaki berada di dalam van terbabit dan pihak ambulans kemudian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia,” katanya kepada Harian Metro di sini, semalam.

Menurutnya, mayat lelaki tempatan yang masih bujang itu dibawa keluar daripada van berkenaan pada jam 8.30 pagi. “Pihak bomba tidak menolak kemungkinan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian dalam tempoh empat jam sebelum dia ditemui. “Satu hos turut ditemui di dalam kenderaan berkenaan yang disalurkan daripada lubang ekzos dipercayai untuk dihidu lelaki terbabit,” katanya. Mayat lelaki itu dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk bedah siasat. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh mengesahkan kejadian itu.
Foto
MANGSA ditemui lengkap berpakaian.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/07

No comments:

Post a Comment