• Che Mat Salwi (kanan) sedang melihat sebahagian VCD dan DVD yang dijual secara terbuka di lot kedai Taman Muhibah.Che Mat Salwi (kanan) sedang melihat sebahagian VCD dan DVD yang dijual secara terbuka di lot kedai Taman Muhibah.

MERLIMAU - Kedegilan dua pengusaha video cakera padat (VCD) dan cakera video digital (DVD) cetak rompak yang menjualnya secara terbuka di daerah ini, akhirnya memakan diri setelah diserbu secara serentak dalam Ops Gerak Gempur Cetak Rompak, baru-baru ini.

Dalam serbuan kira-kira jam 7.30 malam itu, sepasukan anggota penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Putrajaya yang diketuai Penolong Pegawai Penguatkuasa Kanan KPDNKK Putrajaya, Che Mat Salwi Che Wail
berjaya menyerbu dua premis di Taman Merlimau Utara dan Taman Muhibbah setelah melakukan risikan selama sebulan selepas menerima aduan orang awam sejak sebulan lalu.

Menurutnya, dalam serbuan yang berakhir jam 10 malam, beliau bersama 14 anggota berjaya menemui dan merampas lebih 20,000 keping VCD dan DVD bernilai RM160,000 yang dipercayai dijual secara terbuka di premis lot kedai.

"Kedua-dua premis itu dipercayai memulakan operasi dari jam 12 tengah hari hingga 10 malam dan menjual VCD serta DVD dengan harga RM5 sekeping," katanya.

Tambahnya, ketika operasi dilakukan, tiada pelanggan di dalam kedua-dua premis itu dan pekerjanya tidak sempat melarikan diri selepas ia dikepung anggotanya.

“Kita berjaya merampas hasil serbuan 20,000 keping VCD dan DVD bernilai RM160,000, termasuk 14,000 keping di premis di Taman Merlimau Utara dan Taman Muhibbah (6,500 keping).

“Kami turut menahan dua lelaki berusia 54 dan 56 tahun yang bekerja sebagai penjaga premis, siasatan awal mendapati perniagaan ini dipercayai didalangi individu berasingan,” katanya.

Che Mat Salwi berkata demikian kepada pemberita selepas operasi berkenaan di Taman Muhibbah.

Jelasnya, premis di Taman Muhibbah itu dahulunya adalah sebuah restoran yang diubah suai, manakala lot kedai di Taman Merlimau Utara berkenaan pula sebelum ini dipercayai menjalankan perkhidmatan pusat siber.

“Mereka bertindak berani menjalankan perniagaan secara terbuka di lot rumah kedai sejak lebih tujuh bulan lalu sebelum kita melakukan serbuan di premis di Taman Merlimau Utara dan Taman Muhibbah, Merlimau, yang terletak dalam jarak tidak sampai 100 meter secara
serentak,” katanya.