Search This Blog

Monday, May 12, 2014

Keluarga Iraq tersekat di sungai


Kajang: Percutian sekeluarga warga Iraq termasuk kanak-kanak berkelah dan mandi-manda di Air Terjun Sungai Tekala, di sini, bertukar detik mencemaskan apabila mereka gagal menyeberang sungai itu untuk pulang berikutan hujan lebat yang mengakibatkan arus deras, lewat petang kelmarin.

Difahamkan, kejadian kira-kira jam 6.20 petang itu memaksa pihak berkuasa termasuk bomba melancarkan operasi menyelamat sembilan individu yang masing-masing berusia antara empat dan 33 tahun.



Semua mereka termasuk tiga kanak-kanak dan tiga wanita bagaimanapun berjaya diselamatkan dalam tempoh kira-kira 20 minit dengan menggunakan tali tanpa mengalami sebarang kecederaan.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerusi Balai Bomba dan Penyelamat Semenyih bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan jam 6.28 petang.

“Sepasukan enam pegawai dan anggota bersama sebuah jentera diketuai Pegawai Bomba Kanan II Ab Aziz Ismail dikerah dalam operasi menyelamat itu yang turut disertai polis.


“Setibanya di lokasi dinyatakan jam 6.49 petang, arus terlalu deras berikutan hujan hingga menyebabkan mangsa terutama kanak-kanak berdepan risiko bahaya untuk menyeberangi air terjun berkenaan,” katanya, di sini, semalam.

Menurutnya, anggota bomba menggunakan tali yang diikat ke pokok untuk meniti batuan dan arus deras menuju ke arah keluarga warga asing terbabit.

“Tali berkenaan seterusnya diikat kuat di pokok lain bagi membolehkan semua mangsa dibawa menyeberang dengan selamat yang jaraknya dianggarkan kira-kira lima meter,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/12

No comments:

Post a Comment