Search This Blog

Monday, May 12, 2014

Kalungan bunga dosa


Keasyikan sekumpulan wanita warga Vietnam yang bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) di sebuah pusat hiburan di Jalan Puchong Mesra, Cheras terbantut apabila premis itu diserbu polis, malam kelmarin.

Dalam serbuan kira-kira jam 11.30 malam oleh empat pegawai dan 20 anggota dari Bahagian Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) itu seramai 34 wanita ditahan.

Ketua Operasi Asisten Superintendan Arsad Kamaruddin berkata, mereka yang ditahan berusia antara 18 dan 35 tahun dan disyaki turut menyediakan perkhidmatan seks kepada pelanggan.

“Ketika diserbu kira-kira 81 pelanggan berada di dalam pusat hiburan berkenaan termasuk enam daripadanya didapati bawah umur iaitu berusia 21 tahun ke bawah.

“Siasatan awal mendapati premis yang mempunyai lesen itu disyaki menjalankan perkhidmatan seks dan aktiviti tidak bermoral dengan cara memakaikan kalungan bunga kepada pelanggan yang ingin mendapatkan khidmat mereka,” katanya.

Katanya, setiap kalungan bunga berharga RM10 dan khidmat seks bergantung kepada individu dan premis itu dijaga seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun.

Beliau berkata, risikan dilakukan selama seminggu atas maklumat awam dan polis tidak menolak kemungkinan GRO berkenaan dihantar oleh ejen.

“Premis itu dikenakan saman kerana melanggar syarat perniagaan kerana membenarkan pelanggan bawah umur manakala semua wanita Vietnam berkenaan ditahan kerana menyalahgunakan pas lawatan,” katanya.

Katanya, semua yang ditahan di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras untuk siasatan lanjut.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/12

No comments:

Post a Comment