Search This Blog

Saturday, May 17, 2014

Ibu bapa Ming You direman bantu siasatan


Low Ming You
KOTA KINABALU 16 Mei - Polis menahan ibu bapa kepada Low Ming You, 3, yang dipercayai diculik sejak 9 Mei lalu, bagi membantu siasatan kes penculikan kanak-kanak itu.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Jauteh Dikun berkata, pasangan itu ditahan ketika diminta datang ke ibu pejabat polis daerah di sini Rabu lalu.
"Mereka ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak," katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Jauteh bagaimanapun menafikan khabar angin yang mengaitkan bapa kepada Ming You menjadi dalang kejadian tersebut yang kononnya dirancang bagi mendapat wang tebusan daripada bapa mertuanya.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai agar tidak terpengaruh dengan khabar angin tersebut yang dimuat naik di laman sosial, sebaliknya menantikan kenyataan sahih daripada polis berhubung insiden penculikan tersebut.
"Saya juga meminta orang yang bertanggungjawab menyebar maklumat seperti itu untuk tidak berbuat andaian sesuka hati kerana tindakan undang-undang boleh dikenakan sekiranya ia mampu menimbulkan ke­adaan kucar kacir dalam kalangan ma­syarakat," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Jauteh lagi, kenyataan yang tidak mempunyai kesahihan dan sengaja dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab itu mampu menimbulkan persepsi ne­gatif, malah boleh mengganggu siasatan kes.
"Setakat ini, polis masih giat menjalankan siasatan bagi mengenal pasti segala kemungkinan berkaitan kes penculikan kanak-kanak terbabit dan operasi mengesan lokasi mangsa.
"Kita meminta kerjasama orang ramai untuk tidak menyebarkan atau mempercayai sebarang maklumat palsu kerana ia akan mengganggu siasatan polis," katanya.

No comments:

Post a Comment