Search This Blog

Saturday, May 17, 2014

Geng pecah rumah Amerika Latin tumpas


Azisman Alias (kanan) menunjukkan peralatan yang digunakan oleh geng Amerika Latin untuk memecah masuk rumah dalam sidang akhbar di IPD Shah Alam, Selangor, semalam. - UTUSAN/Muhammad Fadzrul Afif Ashraf Abu Tarin
SHAH ALAM 16 Mei - Dengan menggunakan kereta mewah, sekumpulan kaki pecah rumah warga Amerika Latin berjaya mengaburi mata orang ramai termasuk pengawal keselamatan untuk menyelinap masuk ke taman-taman perumahan bagi menjalankan kegiatan jahat mereka.
Bagaimanapun, jenayah yang dilakukan oleh dua lelaki warga Columbia, seorang lelaki warga Mexico dan dua wanita warga Thailand dipercayai kekasih mereka sejak kira-kira dua bulan lalu itu akhirnya dapat ditumpaskan.
Hasil maklumat daripada orang awam, kelima-lima mereka yang berusia antara 26 dan 42 tahun itu berjaya ditahan dalam serbuan di sebuah kondominium di Cheras, Kuala Lumpur pada pukul 11.30 malam, Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah, Asisten Ko­misioner Azisman Alias berkata, dalam serbuan tersebut, polis berjaya merampas beberapa barangan yang dipercayai diperoleh daripada kegiatan pecah rumah bernilai kira-kira RM60,000.
Beliau berkata, antara barangan yang dirampas ialah televisyen plasma, komputer riba, beg tangan wanita, jam tangan berjenama, te­lefon bimbit dan mata wang asing.
Menurut beliau, dengan tertangkapnya kelima-lima suspek, polis berjaya menyelesaikan beberapa kes pecah rumah yang berlaku di daerah ini dan beberapa kawasan lain dalam Lembah Klang.
"Kesemua suspek ditahan reman sehingga 19 Mei ini bagi membantu siasatan. Kita juga akan mendapatkan khidmat kedutaan asing di negara ini memandangkan mereka sukar memberi kerjasama atas alasan tidak boleh berbahasa Inggeris," katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.
Azisman memberitahu, kumpulan berkenaan begitu profesional dan mampu memasuki rumah mangsa untuk menggeledah serta mencuri dalam tempoh 30 hingga 40 minit.
Ujar beliau, suspek akan membuat tinjauan di kawasan-kawasan perumahan mewah terlebih dahulu dan menjadikan kediaman tidak berpenghuni sebagai mangsa.
"Modus operandi mereka adalah dengan menekan loceng rumah biasanya banglo bagi memastikan kediaman tersebut benar-benar kosong. Apabila sudah benar-benar pasti rumah itu tidak berpenghuni, mereka akan mengumpil pintu untuk masuk dan mengeluarkan alat perakam daripada kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengelak imej mereka dikesan," jelasnya.
Azisman menjelaskan, pihaknya percaya suspek mempunyai kaitan dengan kumpulan pecah rumah warga Amerika Latin sebelum ini.
Katanya lagi, polis juga sedang menyiasat sama ada mereka pernah memasuki negara ini menggunakan dokumen lain kerana berdasarkan pasport yang dirampas, mereka baru pertama kali menje­jakkan kaki ke Malaysia.
"Kesemua suspek disiasat di ba­wah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana terlibat dalam kegiatan pe­cah rumah," tambahnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140517/je_02/Geng-pecah-rumah-Amerika-Latin-tumpas#ixzz31uzr206o
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment