• Kesemua permit kerja yang didakwa palsu oleh jabatan imigresen.Kesemua permit kerja yang didakwa palsu oleh jabatan imigresen.

PUCHONG - Niatnya membantu pekerja asing mendapatkan permit bertukar menjadi igauan ngeri apabila dia kini diancam dan diugut, malah terpaksa berpindah rumah selepas pekerjanya mendapat tahu permit dibuat palsu serta tidak berdaftar dengan jabatan imigresen.

Segala-galanya bermula apabila majikan itu, Khairunnisa Abdullah, 56, meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada seorang lelaki yang mengaku dirinya ejen Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Lelaki itu mendakwa boleh membuat Permit Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin (Permit 6P) dengan kadar bayaran sebanyak RM3,000 seorang.

Urusan membuat Permit 6P pada awalnya berjalan lancar Julai tahun lalu, baki 52 lagi bagaimanapun diserahkan kepada seorang lagi ejen yang mengaku berkhidmat dengan Bahagian Penguatkuasaan KDN.

Mangsa mendakwa membuat bayaran sebanyak RM156,000 kepada lelaki terbabit, tetapi hanya 34 pasport berserta pelekat permit kerja diserahkan manakala 18 lagi masih belum dipulangkan.

Bagaimanapun, dia terkejut apabila mendapat tahu dua pekerjanya ditahan di Perak kerana permit kerja didapati palsu.

Tidak berpuas hati dengan perkara itu dia kemudian membuat semakan dengan KDN dan agensi itu memaklumkan Slip Pendaftaran Pati adalah sah dan tulen.

Namun mengejutkan apabila dia ke jabatan imigresen, pegawai agensi memaklumkan pelekat permit kerja diperolehi pekerjanya adalah palsu.

“Pegawai imigresen di kaunter kata saya buat permit bawah pokok...tak berdaftar dalam sistem. Perkara ini menghairankan saya,” katanya.

Kesal dengan apa yang menimpa, Khairunnisa membuat laporan polis dan mengadu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), KDN serta Jabatan Perdana Menteri.

“Sejak itu, pekerja yang buat permit mengancam saya dengan pelbagai ancaman serta ugutan, saya risau kerana membela seorang anak kurang upaya di rumah,” katanya.

Dia turut mendakwa ada seorang pekerjanya hampir menggantung diri kerana tidak dapat pulang ke negara asal. Ia berikutan pasport pekerja warga Bangladesh itu masih dipegang ejen berkenaan.

Sementara itu, Persatuan Kebajikan India Malaysia (PKIM), K S Baskaran meminta pihak berkenaan menyiasat kelicikan ejen yang pernah membuat penipuan seperti itu kerana percaya ramai yang sudah tertipu.

“Saya minta agensi berwajib ambil tindakan segera terhadap sindiket yang keluarkan permit palsu, kasihan mangsa mengalami kerugian selain diganggu pekerjanya,” katanya.