Search This Blog

Tuesday, May 27, 2014

Bekas CEO Sime Bank bebas


ISMAIL ZAKARIA
KUALA LUMPUR 26 Mei - "Anda bebas sekarang." Kata-kata yang diucapkan oleh peguam, Kitson Foong kepada bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sime Bank, Datuk Ismail Zakaria begitu bermakna sekali.
Ini terutama selepas 15 tahun terpaksa turun naik mahkamah berikutan kes terhadap beliau yang didakwa bertindak di luar bidang kuasa dengan meluluskan pinjaman berjumlah RM175 juta sekitar 1997.
Ia berikutan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Azman Husin yang membatalkan rayuan yang difailkan oleh pihak pendakwaan iaitu Bank Negara Malaysia (BNM) dalam kes itu selepas membenarkan permohonan peguam terbabit hari ini.
Terdahulu, selepas mahkamah bersidang hampir satu jam 30 minit, Foong memohon agar rayuan tersebut diketepikan selepas pihak pendakwaan gagal hadir untuk prosiding pendengaran rayuan tersebut.
Hari ini merupakan kali kedua rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen melepas dan membebaskan Ismail daripada pertuduhan itu tiga tahun lalu, sepatutnya didengar di mahkamah.
Peguam terbabit turut memberikan alasan pihak pendakwaan seperti acuh tidak acuh dengan kes terbabit kerana seringkali tidak hadir sejak di peringkat pengurusan kes malah beliau sendiri pernah menyebut bagi pihak pendakwaan.
Menurut Foong, pihaknya juga sehingga kini masih belum diserahkan petisyen rayuan berhubung keputusan Hakim Mahkamah Sesyen pada 12 September 2011.
Pihak pendakwaan mengemukakan rayuan selepas tidak berpuas hati dengan keputusan Hakim Datuk Khadijah Idris yang kini bertugas sebagai Ketua Bahagian Penasihat di Jabatan Peguam Negara yang melepas dan membebaskan Ismail daripada empat pertuduhan utama memberikan kemudahan kredit kepada syarikat pegangan pelaburan, Everise Capitol Sdn. Bhd. (Everise).
Ismail didakwa bertindak di luar terma dan syarat tugasnya sebagai CEO dalam meluluskan pinjaman secara berperingkat-peringkat bernilai RM59 juta, RM50 juta, RM40 juta dan RM26 juta kepada Everise yang merupakan anak syarikat Repco Capital yang diuruskan oleh ahli perniagaan, Low Thiam Hock atau turut dikenali sebagai Repco Low.
Ismail, 72, didakwa melakukan perbuatan tersebut di antara 20 September 1997 dan 21 Oktober tahun yang sama di Tingkat 2, Bangunan Sime Bank, Jalan Sultan Sulaiman di sini.
Bagi keempat-empat tuduhan utama, dia didakwa mengikut Seksyen 65(1) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 103(1)(a) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya.
Mahkamah Sesyen turut melepas dan membebaskan Ismail daripada kesemua empat tuduhan pilihan iaitu pecah amanah dana-dana berkenaan pada waktu dan di tempat yang sama.
Kesemua pertuduhan pilihan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun, sebatan dan denda.
Ismail meletakkan jawatannya di bank berkenaan selepas Sime Bank yang merupakan antara empat bank terkemuka negara pada ketika itu mencatatkan kerugian RM1.81 bilion sebelum cukai bagi tempoh enam bulan berakhir 31 Disember 1997.
Sementara itu, Ismail yang hadir di mahkamah dengan ditemani isteri, Datin Rohani Yusoff mengucapkan rasa syukurnya dengan keputusan mahkamah hari ini.
"Syukur alhamdulillah, kes dah habis (selesai). Selepas didakwa saya tidak lagi bekerja dan kepercayaan orang terhadap saya juga hilang. Kerjaya saya dalam bidang perbankan juga sudah musnah," katanya sebelum meninggalkan mahkamah.
Ismail pernah menjawat Ketua Eksekutif RHB DCB Bank dan Pengerusi Persatuan Bank-Bank Malaysia (ABM) sebelum berkhidmat di Sime Bank, malah turut pernah disebut-sebut dilantik sebagai Gabenor Bank Negara.
Isu Sime Bank bermula apabila bank berkenaan dan anak-anak syarikatnya mencatat kerugian lebih RM1.81 bilion dalam masa enam bulan sehingga 31 Disember 1997.
Kerugian itu disebabkan pemberian beberapa pinjaman saham bernilai ratusan juta ringgit dan ekoran itu memerlukan suntikan modal lebih RM1.2 bilion untuk membolehkannya terus beroperasi.
Kerugian bank tersebut dilaporkan selepas satu tahun diambil alih oleh Sime Darby Bhd. Bank berkenaan sebelum ini dikenali sebagai United Malayan Banking Corporation (UMBC).


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140527/ma_07/Bekas-CEO-Sime-Bank-bebas#ixzz32rguayFW
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment