Search This Blog

Saturday, May 17, 2014

3 wanita ditahan teguk air syaitan


Butterworth: Dua lelaki yang juga adik-beradik antara 10 individu beragama Islam ditahan selepas didapati mengambil minuman keras dalam pemeriksaan dijalankan Bahagian PenguatKuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), awal pagi semalam.
Dalam serbuan bermula jam 12 tengah malam hingga 3 pagi di lima premis hiburan iaitu satu di Butterworth dan empat di Georgetown, tujuh lelaki dan tiga wanita termasuk warga negara asing berusia 20-an dan 30-an ditahan.
Ketua Penguat Kuasa JHAEIPP Khairul Azman Azizan berkata, semua individu terbabit ditahan selepas ujian saringan dilakukan mendapati mereka berada di bawah pengaruh alkohol yang tinggi.
“Ketika pemeriksaan dilakukan, ada antara individu berkenaan melarikan diri dengan cuba keluar dari premis bagi mengelak daripada menjalani ujian alkohol menggunakan alat khas, namun taktik itu berjaya dikesan.
“Ada yang berlakon seolah-olah sedang sibuk menjawab telefon atas urusan penting dan mahu keluar dari premis berkenaan atas alasan perbualan kurang jelas berikutan suasana bising.
“Tetapi, itu hanyalah helah mereka kerana hasil ujian saringan dilakukan mendapati mereka sebenarnya mengambil minuman keras dan memberikan pelbagai alasan termasuk mahu melepaskan tekanan bekerja,” katanya.
Khairul Azman berkata, dalam serbuan di sebuah premis hiburan di Georgetown, seorang gadis bermati-matian menafikan dia mengambil minuman keras dengan mendakwa arak ditemui di atas mejanya milik orang lain.
Gadis berkenaan mendakwa pergi ke premis terbabit hanya untuk berhibur bersama rakannya dan langsung tidak mengambil minuman keras, tetapi ujian saringan dilakukan mendapati perkara sebaliknya.
“Apa yang dikesalkan, ada antara individu ditahan mengaku tabiat suka mengambil minuman keras itu diketahui ibu bapa dan dinasihatkan untuk berhenti kerana bertentangan dengan ajaran Islam.
“Namun, kerana sudah ketagih meneguk arak, mereka sanggup menipu ibu bapa atau curi-curi untuk ke premis hiburan bagi melepaskan gian dengan menikmati minuman keras,” katanya.
Beliau berkata, selain melakukan ujian saringan, pihaknya turut merampas minuman keras yang dibeli individu berkenaan sebagai bukti perlakuan kurang sopan itu serta membantu siasatan kes yang disiasat mengikut Seksyen 19 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang 1996 yang jika sabit kesalahan boleh didenda hingga RM3,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Katanya, dua wanita warga asing yang ditahan turut disiasat mengikut Seksyen 35 kerana menggalakkan perkara maksiat dan jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda hingga RM5,000, penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Foto
ADIK-beradik ditahan kerana dipercayai mengambil minuman keras.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/17

No comments:

Post a Comment