Search This Blog

Saturday, May 17, 2014

29 terkorban feri karam di Bangladesh


GAJARIA, Bangladesh 16 Mei - Sekurang-kurangnya 29 maut, sementara lebih 100 yang lain masih hilang apabila sebuah feri yang dinaiki 200 penumpang karam akibat ribut di Sungai Meghna, tenggara Dhaka, tengah hari semalam.
Selepas 24 jam insiden berlaku, pasukan penyelam masih bertungkus lumus menjalankan operasi mencari dan menyelamat walaupun harapan untuk menemukan mangsa yang terselamat tipis.
Pihak berkuasa tempatan berkata, kemungkinan seramai 200 orang berada di dalam feri MV Miraz, ketika karam di Sungai Meghna, kira-kira 50 kilometer di tenggara ibu negara, Dhaka.
Ketua Pihak Berkuasa Pengangkutan Perairan Bangladesh, Shamsuddoha Khandakaker berkata, kira-kira 40 orang penumpang feri berjaya diselamatkan bot-bot nelayan yang berada berhampiran lokasi kejadian.
Ketika insiden, feri itu dalam perjalanan ke daerah Shariatpur, selatan Bangladesh.
Kaum keluarga mangsa berkumpul di tepi sungai ketika berpuluh-puluh mayat mangsa dikumpulkan, selepas usaha awal menaikkan feri gagal sekali gus memaksa dua lagi kapal penyelamat memulakan percubaan lain untuk menarik feri ke tepi pantai.
Pada awalnya, pihak berkuasa menyatakan, seramai 350 orang berada di dalam feri itu sebelum karam tetapi Khandakaker berkata, jumlah tersebut terlalu kecil.
"Feri tersebut bersaiz sederhana besar dan boleh memuatkan sekitar 500 penumpang tanpa barangan. Namun, daripada maklumat yang diperolehi setakat ini, kita mendapati feri itu membawa kira-kira 150 hingga 200 penumpang ketika kejadian itu berlaku," katanya.
Satu siasatan akan dijalankan bagi memastikan sama ada feri itu membawa lebih muatan atau mengalami kerosakan. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140517/lu_06/29-terkorban-feri-karam-di-Bangladesh#ixzz31v01cjZz
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment