Search This Blog

Monday, May 12, 2014

2 blok sekolah mendap ditutup


Ipoh: Sebahagian bangunan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ringlet, Cameron Highlands dikuarantin berikutan dua daripada enam blok didapati retak dan struktur tanahnya mendap.

Difahamkan, satu blok yang dikeluarkan perintah kuarantin itu adalah bangunan dua tingkat dengan sembilan bilik darjah manakala satu lagi bangunan setingkat yang berfungsi sebagai dewan sekolah.

Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu, V P Selvam berkata, masalah itu mula berlaku sejak dua tahun lalu dengan keadaan bangunan mengalami keretakan kecil.

Katanya, keadaan semakin buruk apabila keretakan itu mula berlaku sedikit demi sedikit termasuk bangunan berkenaan semakin tenggelam akibat tanah mendap.

“Blok dua tingkat adalah yang paling teruk terjejas dengan terdapat kesan retak yang besar.

“Pelajar kini tidak lagi dibenarkan menggunakan kedua-dua blok berikutan perintah kuarantin bangunan dikeluarkan pada 29 April lalu,” katanya.

Menurut Selvam, perintah itu dikeluarkan Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) selepas kakitangannya melakukan ujian tanah dan pemeriksaan kestabilan bangunan dengan mendapati dua blok bangunan itu condong ke arah bangunan lain.

Katanya, pihaknya berharap kerja pembaikan boleh dijalankan dengan segera bagi mengelakkan sebarang tragedi tidak diingini termasuk ruang pembelajaran yang terpaksa dikurangkan akibat masalah itu.

“Selepas perintah itu dikeluarkan, ruang pembelajaran di sekolah itu tidak dapat menampung 700 pelajar di sekolah ini.



Kami berharap kerja pembaikan dapat dilakukan segera bagi membolehkan pelajar meneruskan pembelajaran dalam keadaan lebih selesa.

“Blok yang terbabit ini adalah bengkel bagi mata pelajaran kemahiran hidup dan dengan penutupan blok itu menyebabkan pembelajaran mata pelajaran itu terpaksa dijalankan di kelas lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/12

No comments:

Post a Comment