Search This Blog

Sunday, April 20, 2014

Usaha menyelamat penumpang feri sukar


MOKPO, Korea Selatan 19 April - Usaha mencari dan menyelamat lebih 200 mangsa feri karam yang berlaku di selatan negara ini diteruskan hari ini, dengan pasukan penyelam berjaya menemui tiga mayat yang terperangkap di dalam feri, namun hanya dua berjaya dikeluarkan.
Agensi berita Yonhap memetik pegawai Pengawal Pantai Korea Selatan sebagai berkata, penyelam tentera laut negara ini menemukan tiga mayat yang terapung berhampiran tingkap kabin penumpang feri, namun tidak dapat mengeluarkan satu mayat, setelah usaha untuk memecahkan tingkap feri berkenaan menemui kegagalan.
Usaha mencari dan menyelamat yang memasuki hari keempat diperhebatkan dengan penglibatan beratus-ratus anggota Tentera Laut Korea Selatan, pengawal pantai dan penyelam persendirian yang berkampung di kawasan kejadian yang terletak kira-kira 25 kilometer dari pantai barat daya Korea Selatan.
Menurut pegawal pantai lagi, setakat ini tiada sebarang bunyi dikesan dari dalam badan feri tersebut.
Semalam, ombak kuat dan hujan lebat menyukarkan para penyelam yang bertugas secara bergilir-gilir melakukan misi mencari dan menyelamat.
Sebanyak tiga buah kapal de­ngan kren tiba di lokasi kejadian untuk bersiap sedia mengeluarkan feri tersebut dari laut, namun mereka tidak akan berbuat demikian sebelum mendapatkan persetujuan daripada ahli keluarga, yang percaya usaha mengangkat feri berkenaan akan membahayakan nyawa mereka yang terperangkap sekiranya ada yang masih hidup.
Feri yang membawa 462 orang penumpang kebanyakannya pelajar sekolah itu, karam Rabu lalu dalam perjalanan dari Pelabuhan Incheon ke pulau peranginan Jeju.
Sehingga kini 174 orang berjaya diselamatkan dan usaha mencari mangsa yang hilang sedang giat dijalankan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140420/lu_04/Usaha-menyelamat-penumpang-feri-sukar#ixzz2zNA26ZCu
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment