Search This Blog

Wednesday, April 2, 2014

Tujuh mesin ATM dicuri 2012, 2013


KUALA LUMPUR 1 April - Sebanyak tujuh kes kecurian mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dilaporkan di seluruh negara dalam tempoh dua tahun lalu.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, bagi kes jenayah melibatkan mesin ATM pula, sebanyak 132 kes dicatatkan dalam tempoh sama.
"Mengikut rekod, kes kecurian mesin ATM yang dilaporkan pada 2012 adalah dua kes dan tiga kes (2013).
"Statistik kesalahan berkaitan mesin ATM termasuk kecurian, buka dan pecah pula adalah 54 kes (2012) dan 78 kes (2013)," katanya dalam Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Idris Ahmad (Pas-Bukit Gantang) yang bertanyakan jumlah kecurian mesin ATM sejak Disember 2013.
Menjawab soalan tambahan Idris sama ada kecurian itu turut melibatkan pengawal keselamatan warga asing yang tidak memenuhi piawaian keselamatan, Wan Junaidi berkata, Kementerian Dalam Negeri sedang melakukan audit terhadap syarikat kawalan keselamatan.
Katanya, langkah tersebut dibuat bagi memastikan pengawal keselamatan hanya dilantik dalam kalangan warga Nepal yang mempunyai pengalaman ketenteraan.
"Pada masa sama, polis meminta bank hanya mengambil pengawal keselamatan tetapi dari syarikat kawalan keselamatan yang telah diaudit oleh KDN," ujarnya.
Menjawab soalan tambahan Datuk Takiyuddin Hassan (Pas-Kota Bharu) tentang penempatan mesin ATM di pasar raya yang mengundang aktiviti jenayah, beliau berkata, pemilihan lokasi ditentukan oleh pihak bank dan pemilik premis dengan kebenaran Bank Negara Malaysia (BNM).
Katanya, BNM pada tahun 2000 telah mengeluarkan garis panduan bahawa setiap mesin ATM mesti mempunyai sistem kamera litar tertutup (CCTV), sistem penggera serta pemilihan lokasi di tempat yang selamat.
Beliau berkata, pemasangan mesin ATM di sesuatu lokasi mengambil kira permohonan orang ramai serta keselamatan tempat tersebut.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140402/je_03/Tujuh-mesin-ATM-dicuri-2012-2013#ixzz2xjNmtI3E
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment