Search This Blog

Thursday, April 3, 2014

SPA dedah penipuan RM500


PUTRAJAYA 2 April - Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) hari ini mendedahkan kegiatan satu sindiket penipuan bagi tujuan memperdayakan orang ramai yang mahu mendapatkan pekerjaan di sektor awam dengan dikenakan bayaran sebanyak RM500.
Pengerusinya, Tan Sri Mahmood Adam berkata, SPA menerima maklumat mengenai kegiatan tersebut melalui laporan yang dibuat orang ramai.
“Kami menerima beberapa laporan orang ramai bahawa ada pihak tertentu atau sindiket mengguna pakai nama SPA bagi tujuan panggilan temuduga.
“Panggilan itu bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia(SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), kolej dan universiti untuk mendapatkan pekerjaan di sektor awam dengan mengenakan bayaran RM500," katanya melalui satu kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu Mahmood menjelaskan, semua permohonan pekerjaan di sektor awam dilakukan atas talian secara percuma melalui laman web, www.spa.gov.my setelah jawatan-jawatan tersebut diiklankan di akhbar-akhbar tempatan apabila terdapat kekosongan.
Ujar beliau, semua calon yang berjaya akan dipanggil temuduga bagi sebarang jawatan menerusi surat, e-mel, khidmat pesanan ringkas (SMS) atau panggilan telefon.
“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dengan sindiket tersebut jika mahu mendapatkan pekerjaan di sektor awam," katanya.
“Mereka juga dinasihatkan supaya membuat laporan polis sekiranya terdapat tawaran pekerjaan oleh sindiket tersebut bagi mengelakkan sebarang penipuan," katanya.
Untuk pertanyaan lanjut katanya, orang ramai boleh menghubungi SPA menerusi nombor telefon 03-88856000, Setiausaha Bahagian Pengambilan Khas (03-88856010), Setiausaha Bahagian Pengambilan (03-88856014) atau Unit Pendaftaran SPA, 03-88856297/03-88856298.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140403/je_02/SPA-dedah-penipuan-RM500#ixzz2xmYudVOK
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment