Search This Blog

Tuesday, April 15, 2014

Polis kenal pasti 3 mayat terapung


KUALA LUMPUR 14 April - Polis sudah mengenal pasti identiti tiga mayat yang ditemui terapung di sebuah tasik berhampiran Bulatan Batu Caves dekat sini semalam.
Ketiga-tiga mangsa ialah R. Raja Selvam, 38, dari Rawang, Selangor; Mohd. Nordin Mohd. Nor, 38, dari Kuala Lipis, Pahang; dan Mohd. Fairuse Yusop dari Limbang, Sarawak.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, pihaknya kini menyiasat sama ada insiden itu mempunyai kaitan dengan operasi membanteras dadah yang dilakukan kira-kira 100 meter daripada lokasi kejadian, iaitu sehari sebelum penemuan ketiga-tiga mayat berkenaan.
“Hasil temu bual terhadap 13 suspek yang ditahan dalam operasi dadah itu, mereka tidak mengenali mangsa malah tidak tahu kehadiran ketiga-tiganya di lokasi operasi.
“Mereka juga tidak tahu terdapat individu yang lari ke arah tasik itu semasa operasi tersebut," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di sini hari ini.
Menurut Zakaria, hasil bedah siasat mendapati ketiga-tiga mangsa mati akibat mati lemas serta tiada kecederaan atau unsur jenayah berlaku.
“Kesemua mereka dikenal pasti menerusi dokumen pengenalan diri, rakan dan keluarga yang polis hubungi, juga didapati telah mati melebihi 24 jam," ujarnya.
Dalam kejadian semalam, orang ramai menemukan dua mayat lelaki terapung di tasik tersebut kira-kira pukul 5.30 petang sebelum satu lagi mayat ditemui polis kira-kira dua jam kemudian.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140415/je_03/Polis-kenal-pasti-3-mayat-terapung#ixzz2yvN7CjBl
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment