Search This Blog

Tuesday, April 15, 2014

Polis edar lakaran wajah suspek kedua


Khairuldin Saad menunjukkan gambar suspek semasa mengadakan sidang akhbar berkenaan perkembangan suspek yang menembak dua anggota polis di Ibu Pejabar Daerah Ampang, Selangor, semalam.
KUALA LUMPUR 14 April - Polis yakin dapat menangkap dua penjenayah dalam kes tembak dua anggota pasukan itu di Lembah Maju, Ampang, di sini Jumaat lalu, berikutan telah mengenal pasti lakaran wajah suspek kedua.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairuldin Saad berkata, lakaran tersebut diperoleh daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah restoran berdekatan kejadian.
Katanya, enam CCTV telah dikesan di sekitar kawasan kejadian dan tiga daripadanya berjaya merakam gambar suspek kedua tersebut.
“Pihak kami masih mengumpul maklumat tetapi setakat ini tiada sebarang tangkapan dibuat.
“Namun kita tidak akan berhenti memburu suspek dan kami mengharapkan kerjasama dan bantuan orang ramai bagi menyalurkan sebarang maklumat untuk membantu mengesan kedua-dua suspek terbabit," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Jumaat lalu, Lans Koperal Lionel Richard Jr. 26, cedera parah manakala rakan setugasnya, Kope­ral Zul Fazli Atlahi, 28, cedera ringan akibat ditembak seorang daripada dua penjenayah yang bertatu harimau di Lembah Maju, Ampang.
Berikutan itu, polis mengedarkan lakaran wajah suspek pertama yang melepaskan tiga das tembakan ke arah dua anggota terbabit.
Khairuldin memberitahu, polis turut menemukan kesan cap jari dan bahan bukti lain termasuk baju suspek, selipar serta sebutir anak peluru dipercayai jenis revolver .38 yang dijumpai di tempat kejadian.
“Kami menemukan 18 kesan cap jari pada motosikal, topi keledar dan beberapa barang peribadi milik suspek yang ditinggalkan selepas kejadian.
“Namun setakat ini, tiada persamaan dengan pangkalan data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan data berkaitan kedua-dua suspek sedang dikumpul dengan kerjasama JPN.
“Siasatan ke atas motosikal yang digunakan suspek juga merupakan kenderaan curi dan menggunakan nombor pendaftaran palsu," jelas beliau.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140415/je_01/Polis-edar-lakaran-wajah-suspek-kedua#ixzz2yvMxSS2L
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment