Search This Blog

Sunday, April 13, 2014

Polis buru suspek tembak


Oleh ISKANDAR SHAH MOHAMED
Ampang: Polis meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi membantu siasatan kes dua anggota polis cedera ditembak penjenayah bertatu harimau disyaki ahli kongsi gelap di Lembah Maju, Ampang, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Khairuldin Saad berkata, rakaman diperoleh daripada sebuah kedai runcit di sekitar lokasi kejadian itu masih diteliti pihaknya untuk mengenal pasti identiti sebenar suspek.
“Pemerhatian awal menerusi rakaman CCTV itu jelas menunjukkan seorang suspek iaitu lelaki dipercayai menembak dua anggota polis berkenaan dan melarikan diri melalui lorong di kedai terbabit.

“Bagaimanapun, laporan lengkap mengenai rakaman itu akan diterima selewat-lewatnya esok (hari ini),” katanya di sini, semalam.


Menurut beliau, pihaknya akan mendedahkan gambar diambil daripada CCTV itu kepada media untuk membantu mengesan suspek.




Kata Khairuldin, kedua-dua mangsa, termasuk seorang yang menjalani pembedahan mengeluarkan peluru semalam, dilaporkan stabil dan masih menerima rawatan di Hospital Ampang.

“Kita merekodkan keterangan mereka bagi membantu siasatan kes berkenaan yang diklasifikasikan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan,” katanya yang mempergiatkan usaha memburu suspek.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian menghubungi Hotline Polis Selangor di talian 03-20529999 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya di talian 03-42524866 atau balai polis berdekatan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/13

No comments:

Post a Comment