Search This Blog

Sunday, April 20, 2014

Pesara tentera parah ditikam anak sendiri


20 April 2014

KUALA TERENGGANU - Seorang bapa cedera parah setelah ditikam oleh anaknya sendiri selepas satu pertengkaran di hadapan rumahnya di Kampung Lembah Harapan Seberang Takir di sini malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner K.Manoharan berkata, kejadian itu berlaku ketika mangsa yang berusia 55 tahun itu menegur anak lelaki yang bertengkar dengan tunangnya di hadapan rumah pada 9.30 malam.

Katanya berang dengan teguran itu, anaknya yang berusia 22 tahun bertindak memarahi bapanya dan melarang dia masuk campur dalam urusan mereka.

"Mangsa kemudiannya turun ke kawasan halaman rumah untuk menasihati anaknya namun tercetus pergelutan dan pergaduhan antara bapa dan anak.

"Berang dengan tindakan bapanya, anaknya bertindak menyerang dan menikam belakang badan mangsa dipercayai menggunakan pisau sebelum dikejarkan ke Hospital oleh ahli keluarga yang lain," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurutnya mangsa yang merupakan seorang pesara Tentera itu parah di bahagian belakang sehingga ke paru-paru selain tulang rusuknya patah akibat tikaman itu.

Manoharan berkata mangsa kini menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini dan kini dilaporkan stabil.

Beliau berkata suspek yang tidak bekerja itu diberkas 1.30 pagi ini ketika menerima rawatan di hospital yang sama setelah dipukul adik beradik yang lain selepas mengetahui kejadian itu.

Jelasnya ketika kejadian anak perempuan dan isterinya berada di rumah dan insiden tikaman itu disedari anak perempuannya yang berusia 15 tahun.

Hasil ujian saringan ke atas suspek mendapati positif dadah jenis morfin dan suspek kini direman selama seminggu untuk siasatan lanjut mengikut seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera parah.

Manoharan berkata polis juga sedang mengesan senjata yang digunakan oleh anak ketujuh daripada 12 beradik itu. - Bernama

No comments:

Post a Comment