Search This Blog

Wednesday, April 2, 2014

Lori balak terbalik di selekoh

WARTAWAN SINAR HARIAN
Lori balak terbalik di selekoh
Orang ramai melihat keadaan lori balak yang terbalik di Jalan Sagil - Bukit Gambir di Kampung Parit Kassan, semalam. 
2 April 2014
LEDANG - Sebuah lori yang sarat membawa muatan kayu balak terbalik di selekoh di Jalan Sagil – Bukit Gambir di Kampung Parit Kassan, dekat Bukit Gambir di  sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, pemandu lori berkenaan bagaimanapun terselamat tanpa sebarang kecederaan selepas berjaya keluar daripada kenderaan berat tersebut.

Pemandu, Abd Razak Jusoh, 50, dalam perjalanan dari Muadzam Shah, Pahang, untuk menghantar kayu balak itu ke sebuah kilang di Sungai Mati, di sini.

“Sewaktu belok di selekoh, tiba-tiba kayu jatuh satu persatu menyebabkan lori hilang kawalan lalu terbalik.

“Pada mulanya, saya cuba kawal lori daripada terbalik tetapi tidak berjaya, namun dapat keluar daripada tempat duduk walaupun mengalami sedikit kesukaran,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, dia sempat mematikan enjin lori sebelum  melarikan diri jauh daripada kenderaan tersebut kerana khuatir berlaku kebakaran daripada minyak diesel yang tumpah di atas jalan raya.

Jelasnya, ini adalah kali pertama dia melalui jalan itu dan tidak perasan selekoh tersebut.

“Saya sempat memperlahankan lori tetapi mungkin rantai pengikat kayu ini longgar atau tercabut menyebabkan ia menggelongsor jatuh,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan 2, Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Gambir, Musa Kasbullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 6.48 pagi dan mengerahkan lima anggota bersama sebuah jentera ke tempat kejadian.

Menurutnya, pihaknya menabur habuk kayu atas jalan yang dilimpahi diesel bagi mengelakkan jalan licin dan berbahaya kepada pengguna yang lain.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Parit Kassan, Mohd Hamzah Basar berkata, keadaan selekoh yang tajam menyebabkan kenderaan terbabas apabila dipandu laju.

Tambahnya, kawasan ini juga sering berlaku kemalangan yang pernah membabitkan kemalangan jiwa.

“Kejadian itu boleh dielakkan jika pengguna memandu secara berhemah. Saya berharap pihak berkenaan dapat mengambil langkah sewajarnya bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang,” katanya.

No comments:

Post a Comment