Search This Blog

Tuesday, April 15, 2014

Culik: Pegawai Esscom ke Filipina


KOTA KINABALU 14 April - Penghantaran beberapa pegawai Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) ke Selatan Filipina baru-baru ini adalah untuk membantu dan berunding dengan pihak pihak keselamatan negara itu bagi menyelamatkan dua wanita mangsa culik di Resort Singamata, Semporna pada awal bulan ini.
Ketua Pengarah Esscom, Datuk Mohammad Mentek menjelaskan, pegawai berkenaan ti­dak menjalankan urusan pe­­rundingan tebusan ber­­sama para penculik sebaliknya berkongsi maklumat risikan untuk menyelamatkan mangsa.
Katanya, sehingga kini Esscom masih belum menerima sebarang tuntutan rasmi daripada penculik berhubung nilai tebusan yang dikatakan berjumlah RM36 juta itu.
“Kami juga tidak pernah melantik mana-mana individu untuk mewakili Esscom bagi mengadakan rundingan membebaskan warga China itu," katanya dalam sidang akhbar di lobi Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 malam pada 2 April lalu, seorang pelancong warga China, Gao Hua Yuan, 29, dari Shanghai dan pekerja resort warga Filipina, Marcy Dayawan, 40, diculik dari Singamata Resort oleh sekumpulan tujuh lelaki berbaju hitam, bertopeng dan bersenjata.
Mengulas lanjut, Mohammad mendedahkan empat daripada suspek yang dikenal pasti terlibat dalam penculikan tersebut pernah menetap di Semporna tanpa dokumen perjalanan yang sah.
Katanya, tiga daripada empat suspek itu juga dipercayai terlibat dalam aktiviti penyeludupan bara­ngan ke Selatan Filipina manakala seorang lagi didakwa pernah bekerja di pekan Semporna.
Dalam pada itu, beliau berkata, sejak 19 Mac lalu, bahagian risikan Esscom mengesan lima buat bot yang cuba memasuki perairan negara ini dipercayai untuk melakukan jenayah penculikan di Semporna.
“Bagaimanapun kawalan ketat pasukan keselamatan mampu menyekat kemasukan empat buah bot itu dan hanya sebuah saja yang berjaya lolos dan masuk ke perairan negara hingga melakukan jenayah terbabit di Resort Singamata," katanya.
Sementara itu, Mohammad ber­kata, Esscom merancang untuk memperkenalkan satu prosedur operasi standard (SOP) yang akan digunapakai oleh pihak-pihak ber­kuasa berkaitan sebagai satu ke­perluan bagi syarikat-syarikat yang bercadang untuk menubuhkan pusat peranginan di negeri ini.
Beliau berkata, SOP yang bakal dijadikan pra syarat untuk memperoleh lesen membuka resort itu akan dibentangkan dalam pertemuan dengan pengendali pusat peranginan di bawah Zon Selamat Pantai Timur Sabah (Esszone) yang akan diadakan di sini, esok.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140415/je_02/Culik-Pegawai-Esscom-ke-Filipina#ixzz2yvikEEtQ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment