Search This Blog

Tuesday, March 11, 2014

Tiga suspek ditahan palsukan pelbagai dokumen


JAMES Musa Singa (tengah) menunjukkan beberapa dokumen serta barang yang dirampas daripada sindiket pemalsuan pasport di Kompleks Kementerian Dalam Negeri Jalan Duta, semalam.
KUALA LUMPUR 10 Mac - Jabatan Imigresen Kuala Lumpur percaya dapat melumpuhkan satu sindiket pemalsuan pelbagai dokumen negara ini dan negara jiran, dengan penahanan tiga suspek warga Indonesia yang dipercayai ahli kumpulan itu, semalam.
Ketiga-tiga suspek berusia 30-an itu ditahan dalam serbuan di dua lokasi iaitu pangsapuri di Hiliran Ampang dan Pandan Jaya, Cheras.
Serbuan kira-kira pukul 10 pagi tersebut dilakukan sepasukan pegawai serta anggota Imigresen Kuala Lumpur dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), hasil maklumat dan risikan selama tiga bulan.
Hasil pemeriksaan ke atas suspek, polis menemui tiga botol dakwat cecair, tin isian semula gas pemetik api (2), gam berwarna kuning dan biru (2), peluntur warna (1), peralatan alat tulis (1) dan bekas pelbagai benang yang digunakan sebagai peralatan memproses dokumen.
Ketua Bahagian Penguat Kuasa Imigresen Kuala Lumpur, James Musa Singa berkata, dokumen yang dipalsukan antaranya ialah pas lawatan kerja sementara (PLKS), pelekat keselamatan Imigresen pintu masuk, kad kartu penduduk Indonesia (KTP), Mykad dan lesen memandu negara ini.
"Kita juga menjumpai 95 keping pasport asal Indonesia, Bangladesh (5) dan Myanmar (1) serta cop masuk dan keluar keselamatan imigresen (2), cop berangkat Imigresen Indonesia (1), cop kedatangan Imigresen Indonesia (1) dan cop kedutaan besar republik Indonesia di sini (1).
"Turut ditemui 56 keping kertas bercetak KTP, kertas bercetak Malaysia Pass (28), mesin salut plastik (1), pengimbas (1) dan komputer peribadi (1)," katanya dalam sidang akhbar Jabatan Imigresen Kuala Lumpur di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Jalan Duta, di sini hari ini.
Sementara itu, James memberitahu, pihaknya tidak menolak kemungkinan terdapat individu lain terlibat dalam sindiket tersebut yang aktif sejak setahun lalu.
"Kita masih menyiasat dan kesemua suspek ditahan reman selama seminggu untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 55D atau Seksyen 56(1)(L), Akta Imigresen 1959/63, '' jelasnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140311/je_04/Tiga-suspek-ditahan-palsukan-pelbagai-dokumen#ixzz2vcmeYgmw
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment