Search This Blog

Tuesday, March 25, 2014

Tiga maut tiga cedera


Kulim: Tiga sekeluarga termasuk seorang kanak-kanak dan bayi maut, manakala tiga lagi cedera selepas kenderaan yang mereka naiki merempuh bahagian belakang sebuah lori di Kilometer (KM) 170, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) di Bandar Baharu, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi, semua mangsa yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) model Toyota Vellfire dalam perjalanan dari Alor Setar ke Kuala Lumpur dikatakan hilang kawalan sebelum merempuh sebuah lori membawa muatan dedak haiwan yang dipandu perlahan. Akibat rempuhan itu mangsa, Tech Yer Wei, 36, bersama anak lelakinya, Hong Dy Hong, lima tahun dan bayi lelaki, Hong Sin Yee, setahun, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.


Suami mangsa yang juga pemandu kenderaan berkenaan, Hong Cheng Hwang, 36, bersama anak perempuan mereka Hong Sin le, dua tahun serta pembantu rumah warga Filipina, Bacuya Syanda, 30-an hanya mengalami cedera ringan. Pemangku Ketua Polis Daerah Bandar Baharu Asisten Superintendan Azmi Abu Bakar ketika dihubungi mengesahkan kejadian membabitkan lima sekeluarga dan seorang pembantu rumah yang dipercayai merempuh sebuah lori membawa dedak haiwan dari arah sama yang bergerak perlahan ketika dalam perjalanan ke Kuala Lumpur.



“Berdasarkan maklumat awal kita mendapati lima sekeluarga bersama seorang pembantu rumah itu dalam perjalanan dari Alor Setar untuk pulang ke rumah mereka di Kuala Lumpur. “Mangsa bersama dua anak mereka yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan mati di tempat kejadian manakala suaminya bersama seorang anak perempuan mereka dan pembantu rumah mengalami cedera ringan,” katanya, semalam.


Azmi berkata, mayat tiga beranak itu kemudian dihantar ke Hospital Kulim (HK) untuk dibedah siasat sebelum dituntut keluarganya.


“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, suami mangsa dan anaknya hadir di HK untuk mengenalpasti mayat isteri dan dua anaknya yang maut dalam kemalangan itu namun enggan memberi sebarang komen ketika ditemubual.


Dalam pada itu seorang pemandu lori yang enggan dikenali berkata, dia terasa gegaran dan terdengar bunyi hentaman kuat dari belakang lorinya sebelum mendapati sebuah MPV dinaiki mangsa remuk teruk.

“Saya terkejut mendengar bunyi dentuman kuat di bahagian belakang lori lalu memberhentikan kenderaan ini dan melihat MPV Toyota Velfire merempuh belakang lori ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/25

No comments:

Post a Comment