Search This Blog

Wednesday, March 12, 2014

Pengusaha kilang didakwa terima suapan RM100,000


12 Mac 2014


BUTTERWORTH - Seorang pengusaha kilang papan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap tuduhan menerima suapan dalam bentuk cek bernilai RM100,000 daripada pemilik sebuah syarikat perkayuan pada 2010.

Mohamad Fadzil Mohamad Rathi, 50, dituduh menerima cek itu daripada Beh Hock Seng, di syarikat Welly Timber Industries Sdn Bhd, Plot A26, Lorong Bakau, Kawasan Perusahaan Perabot Sungai Baong, dalam daerah Seberang Perai Selatan pada 4 November 2010.

Mohamad Fadzil dituduh menerima suapan itu bagi pihak Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Perak, Datuk Nik Muhammad Shah Nik Mustafa sebagai upah membantu Syarikat Intisinar Sdn Bhd kepunyaan Abd Rahman Ahmad mendapat kelulusan permit untuk menjalankan kegiatan membalak di satu kawasan hutan mukim Daerah Slim River, Perak.

Dia dituduh mengikut Seksyen 16(a)(B) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Hakim Julie Lack membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 14 April untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ahmad Ghazali Mohammad Nadzri manakala tertuduh tidak diwakili peguam. - Bernama

No comments:

Post a Comment