Search This Blog

Tuesday, March 25, 2014

Nekad rampas jentera bomba

SITI KHAIRULNISAH MOHAMMED BAJURI
Nekad rampas jentera bomba
Keadaan lampu isyarat yang rosak akibat rempuhan jentera bomba yang dilarikan suspek ketika terdesak mencari jalan meloloskan diri daripada sekatan polis.
25 Mac 2014

TELUK INTAN - Seorang lelaki yang dipercayai di bawah pengaruh dadah bertindak nekad melarikan sebuah jentera bomba Balai Bomba dan Penyelamat Hutan Melintang dan memandunya sehingga sejauh 14 kilometer (km) sebelum berjaya ditahan polis 45 minit selepas itu.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, suspek berusia 30 tahun dari Batu 4 Kampung Selabak, Teluk Intan, dipercayai masuk ke bilik jentera ketika anggota dalam pertukaran syif tugas harian.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, suspek masuk ke bilik jentera dengan menunggang motosikal jenis Honda EX5 sebelum menghidupkan enjin jentera bomba dan bertindak merempuh pagar bilik balai bomba terbabit dan melarikan diri ke arah Teluk Intan.

Beliau berkata, anggota bomba telah memaklumkan kejadian kepada pihak dan sepasukan MPV dari Balai Polis Hutan telah mengejar jentera bomba yang dilarikan oleh suspek yang menghala ke Teluk Intan.

“Dalam masa yang sama, anggota MPV Balai Polis Hutan Melintang turut membuat hebahan kepada petugas di Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis  Daerah (IPD) Hilir Perak selain mengarahkan kenderaan yang dilarikan suspek ditahan kerana membahayakan nyawa pemandu lain pada ketika itu.

“Ketika jentera bomba dilarikan, suspek telah melanggar beberapa pembahagi jalan, tiang lampu dan kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) milik Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang diletakkan di Batu 6, turut dilanggar,” katanya kepada Sinar Harian, di IPD Hilir Perak, di sini, semalam.

Kok Liang berkata, kira-kira jam 11.30 pagi, tiga MPV dan dibantu anggota Unit Rondaan Bermotosikal serta trafik cuba menahan jentera bomba yang dipandu suspek di KM 3.5 Jalan Maharajalela dengan membuat sekatan jalan.

Namun katanya, suspek tidak mengendahkan arahan yang diberikan oleh polis dan cuba melarikan diri dengan melanggar beberapa buah kereta awam, lampu isyarat serta tiang lampu.

Beliau berkata, jentera bomba yang dipandu oleh suspek  kemudiannya terhenti di tengah-tengah  pembahagi jalan di KM 3.5 berhampiran Kilang Caely Girl berhampiran dengan persimpangan lampu isyarat Kampung Banjar.

“Kami menahan seorang lelaki berusia 30 tahun bagi membantu siasatan dan ujian saringan awal air kencing suspek mendapati  positif dadah jenis Methamphetamine.

“Polis juga percaya suspek memandu jentera bomba dengan pengaruh dadah sehingga melakukan pelbagai kerosakan termasuk kenderaan  milik orang awam dan setakat ini tiga  pemilik kereta telah membuat laporan polis berkenaan kerosakan yang dialami,” katanya.

Ketika soal siasat dijalankan, suspek memberi tahu tujuan berbuat demikian kerana mendakwa anggota bomba menipu berdasarkan bunyi siren jentera berkenaan.

No comments:

Post a Comment