Search This Blog

Tuesday, March 25, 2014

Kilang roti terbakar

NORAFIDAH ASSAN
Kilang roti terbakar
Abd Wahid (tiga, kanan) bersama beberapa pemimpin setempat melihat keadaan kilangnya selepas terbakar, pagi semalam
25 Mac 2014
 JEMPOL - Seorang pemilik kilang kerugian hampir RM3 juta selepas bahagian pemprosesan roti di dalam premisnya terbakar, pagi semalam.

Kilang roti berkenaan yang mula beroperasi sejak 1962 itu terbakar kira-kira 60 peratus dan ia disedari oleh orang awam sekitar jam 6 pagi.

Pemiliknya, Abd Wahid Sardar Ahmad, 50, berkata, kejadian tersebut dimaklumkan orang ramai kepada abangnya yang tinggal bersebelahan kilang tersebut.

Menurutnya, kilang itu ditutup sepenuhnya sekitar jam 2.30 pagi, ketika itu tiada pekerja. Api dipercayai bermula di bahagian pemprosesan yang menempatkan dua mesin pembakar bersaiz besar.

"Bagaimanapun, kerja pembuatan roti akan diteruskan dalam masa terdekat. Kerosakan kecil akan dibaik pulih petang ini juga, yang mungkin siap dalam tempoh beberapa minggu.

"Kerosakan besar iaitu di bahagian pemprosesan mengambil masa yang agak lama untuk dibaik pulih susulan ianya turut melibatkan kerosakan di bahagian bumbung dan atap kilang,” katanya.

Kilang yang diuruskan oleh Abdul Wahid adik beradik sejak 30 tahun lalu itu terkenal dengan jenama Roti Abdul.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat, Bandar Seri Jempol, Ab Halim Kamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 6.40 pagi.

“Namun, pasukan Bomba Sukarela Ladang Geddes terlebih dahulu tiba di tempat kejadian bagi mengelakkan api merebak ke bahagian lain.

“Api padam sepenuhnya pada jam 7.30 pagi dan ia tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa. Punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya ketika mengulas lanjut insiden itu.

No comments:

Post a Comment