Search This Blog

Sunday, March 23, 2014

Kaku lepas mengucap


Alor Gajah: “Darah mengalir keluar melalui hidung mangsa, saya kemudian mengajarnya mengucap dua kalimah syahadah sebelum dia terus kaku tidak lama kemudian,” kata Nurfasha Sawaludin, 25, saksi kemalangan jalan raya yang mengorbankan seorang penuntut Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) di Jalan Teluk Belanga, Kuala Sungai Baru, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 5.50 petang, Muhamad Rosdi Muhamad Fadzli, 20, meninggal dunia di tempat kejadian selepas motosikal Honda EX5 ditungganginya dikatakan bertembung dengan sebuah Proton Saga dipandu seorang lelaki berusia 27 tahun.
Difahamkan, Honda EX5 ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan lalu termasuk ke laluan bertentangan ketika mengambil selekoh tajam di lokasi kejadian sebelum bertembung dengan kereta berkenaan yang datang dari arah bertentangan.
Menurut Nurfasha, dia yang berada di kedai makan berhampiran terdengar dentuman sebelum bergegas ke lokasi kejadian dan lihat mangsa tertiarap di jalan.
“Melalui pengetahuan asas pertolongan cemas dimiliki, saya dibantu adik melonggarkan pakaian mangsa yang ketika itu masih hidup.
“Saya dapati mangsa dalam keadaan nazak dan terus mengajarnya mengucap dua kalimah syahadah sebelum menghubungi ambulans,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Nurfasha berkata, mangsa bagaimanapun semakin lemah sebelum kaku 15 minit kemudian.

Pasukan perubatan yang tiba tidak lama kemudian mengesahkan mangsa meninggal dunia.
Rakan serumah mangsa, Abdul Muiz Ramli, 20, berkata, mereka menyewa di Taman Rebana Jernih, Ayer Molek, Kuala Sungai Baru.
“Muhamad Rosdi baru keluar dari rumah untuk bertemu rakan di Pengkalan Balak.
Foto
PEGAWAI penyiasat trafik melakukan pemeriksaan terhadap mayat mangsa di tempat kejadian.

Arwah aktif dalam persatuan pelajar dan dia juga exco Persatuan Siswa Siswi Fakulti Inovasi Pengurusan dan Perniagaan (PERSPEP).

“Arwah menuntut di tahun dua Fakulti Inovasi, Pengurusan dan Perniagaan KUIM.

Dia bukan saja peramah, malah sentiasa disenangi rakan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Mohamad Laham berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Saksi kejadian diminta tampil ke cawangan trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah atau hubungi pegawai penyiasat Ins- pektor Mohd Marzooki Abd Fatah di talian 06-5563222 bagi membantu siasatan.
Ahli keluarga mangsa yang ditemui di perkarangan bilik mayat Hospital Alor Gajah enggan ditemubual kerana masih bersedih dengan kejadian.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/23

1 comment:

  1. Terima kasih yang postkan ini, kami sekeluarga masih lagi rasa kehilangan arwah.. arwah sangat rapat pada neneknya

    ReplyDelete