Search This Blog

Sunday, March 23, 2014

Dua pasangan pengedar dadah ditahan


Abdul Aziz Salleh (kiri) menunjukkan salah satu alat memproses dadah yang dirampas di sebuah rumah yang diduduki sepasang suami isteri dan kekasih selepas sidang akhbar di IPD Temerloh, semalam.
TEMERLOH 22 Mac - Polis menahan empat suspek termasuk dua wanita yang dipercayai pengedar dadah selepas merampas syabu dan heroin bernilai RM10,000 dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Bahagia di sini kelmarin.
Turut dirampas dalam serbuan kira-kira pukul 3.15 petang itu adalah penimbang digital, kotak Samsung Galaxy berisi plastik kosong, botol kaca diubah suai, kepingan aluminium dan gunting yang disyaki digunakan dalam kegiatan pengedaran dadah,
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, dua daripada suspek yang merupakan sepasang suami isteri berumur antara 20 hingga 30 tahun dipercayai menjalankan kegiatan pengedaran dadah di daerah ini sejak tiga tahun lalu.
Beliau berkata, bagi memudahkan kegiatan mengedar dadah, pasangan itu menghantar dua anak mereka yang berumur dua dan tiga tahun ke kampung untuk dipelihara oleh keluarga.
Menurut beliau, dua lagi suspek merupakan pasangan kekasih.
"Syabu seberat 10.02 gram dan heroin (166.05 gram yang dirampas ditemui di dalam kotak besi di salah sebuah bilik di rumah tersebut, " katanya kepada pemberita di sini.
Menurut Abdul Aziz, siasatan awal mendapati kesemua suspek positif dadah manakala pasangan suami isteri yang merupakan suspek utama mempunyai dua rekod lampau di bawah kesalahan narkotik.
Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 39A Akta Dadah Berbahaya dan kesemua suspek ditahan reman sehingga 27 Mac ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140323/je_05/Dua-pasangan-pengedar-dadah-ditahan#ixzz2wj9RAYJP
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment