Search This Blog

Monday, March 3, 2014

Didakwa bunuh teman wanita



PETALING JAYA 3 Mac - Seorang pegawai operasi sebuah syarikat kawalan keselamatan yang dipercayai membelasah teman wanitanya sehingga menyebabkan mangsa mati, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini.
S. Sarwindren, 30, didakwa membunuh Pakizah Raja Khan, 27, seorang kakitangan bank di 3A-17-08, pangsapuri Lagoon Perdana, Jalan PJS 9/1, Bandar Sunway, di sini antara pukul 8.50 malam, 17 Februari dan 1.41 pagi, keesokan harinya.
Dakwaan terhadap lelaki tersebut dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Tertuduh hanya menganggukkan kepala tanda faham selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa kepadanya di hadapan Majistret K.B. Elena Hong Tze Lan.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.
Tertuduh yang berbadan gempal itu kelihatan tenang sepanjang prosiding. Kepala tertuduh juga dilihat dibalut dengan kain pembalut luka dipercayai ekoran kecederaan akibat kejadian itu.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Saphirra Selamat manakala tertuduh diwakili peguam Geethan Ram Vincent.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 15 April ini sementara menunggu laporan forensik.
Akhbar sebelum ini melaporkan, mangsa yang mengalami keretakan tengkorak sebelah kiri akibat dipukul teman lelakinya mati di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), setelah dihantar untuk mendapat rawatan lanjut.
Sebelum kejadian itu, ibu mangsa yang tinggal di Kajang menerima panggilan daripada seorang lelaki yang meminta dia ke sebuah rumah di Lagoon Perdana.
Setibanya di rumah berkenaan, ibu mangsa mendapati anak perempuannya itu meronta-ronta kesakitan serta berdarah di bahagian kepala dan muka. Wanita itu kemudian membawa mangsa ke hospital dengan ambulans tetapi disahkan meninggal dunia.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140304/je_08/Didakwa-bunuh-teman-wanita#ixzz2uwHAx6cw
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment